Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, August 6, 2008

Bijak guna ruang AUKU - Surat 1


KERATAN AKHBAR SURAT PEMBACA DALAM AKBAR UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 31 JULAI 2008

PENGUMUMAN Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pemimpin parti politik termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila berlakunya Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, disambut dengan hati terbuka dan berhati-hati oleh para mahasiswa di kampus.

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) memuji langkah berani Kabinet dalam membudayakan suasana keintelektualan di universiti melalui pindaan rang undang-undang tersebut.

Mahasiswa sebenarnya sudah lama kekeringan percambahan idea daripada kedua-dua belah pihak berkenaan dan mereka hanya memperoleh penerangan sesuatu isu melalui Internet ataupun pergi secara sembunyi-sembunyi ke program penerangan pembangkang.

Langkah kerajaan ini akan memberikan satu suasana demokrasi (democracy zone) kepada para mahasiswa yang diibaratkan sebagai jantung pemikiran bangsa Malaysia akan datang.

GMUKM juga melihat pindaan AUKU ini sebagai satu manifestasi keterbukaan dasar Perdana Menteri dan juga bagi mengelakkan mahasiswa daripada mendengar pandangan sebelah pihak sahaja.

Juga, kebebasan ini akan menjadikan mahasiswa lebih tertonjol sebagai golongan tidak berkepentingan ataupun sebagai kumpulan bebas dan bukannya menjadi jurucakap kepada parti politik tertentu.

Segala isu terkini dan semasa akan dihadam dan dikaji oleh mahasiswa tanpa adanya halangan mahupun ketakutan dalam membicarakan isu tersebut.

Oleh yang demikian, mahasiswa perlu menggunakan ruang kebebasan yang diberikan oleh kerajaan hari ini dengan cara penuh bijaksana dan profesional.

Janganlah hanya pemimpin pembangkang sahaja dijemput ke program sedangkan pemimpin kerajaan dipinggirkan dan begitu juga sebaliknya.

GMUKM melihat pindaan itu dibuat bagi memberi mahasiswa dan universiti persekitaran lebih kondusif serta menyiapkan diri mahasiswa untuk memimpin negara kelak. Benarlah bahawa jiwa muda mahasiswa akan memberontak sekiranya mahasiswa ditekan dan dihalang hak asasinya oleh mana-mana pemerintah seperti yang berlaku di Indonesia.

Justeru, pindaan ini akan dilihat memberikan nafas baru kepada semua IPTA tempatan dalam merealisasikan matlamat menaikkan rangking universiti pada kaca mata dunia.

Di samping itu, pengumuman Menteri Pengajian Tinggi bahawa melalui pindaan AUKU itu juga, mahasiswa yang melakukan kesalahan mengikut AUKU tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah dan akan hanya dihadapkan pada Tribunal Universiti.

Jika dahulu kesalahan mengikut AUKU boleh diambil tindakan mahkamah tetapi dengan pindaan ini, semua penguatkuasaan kesalahan mahasiswa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada universiti.

Tetapi, mahasiswa sebenarnya tertakluk juga kepada undang-undang negara dan sekiranya mahasiswa melakukan kesalahan di bawah Statut Parlimen, mereka akan dihadapkan juga ke mahkamah.

Contoh jelas, jika mahasiswa didapati melakukan rasuah dan penyelewengan, maka Akta Pencegahan Rasuah 1997 akan terpakai kepada mereka.

GMUKM menyambut baik pindaan baru AUKU yang membolehkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin termasuk digantung oleh pihak universiti untuk mengambil peperiksaan. Hal ini kerana bersesuaian dengan prinsip keadilan semulajadi dan juga konsep beyond reasonable doubt.

Jelas bahawa Seksyen 15 (D)(1) AUKU 1971 pindaan 1975 ini, akan secara automatik tidak terpakai. Hal ini kerana sebelum pindaan dilaksanakan, seseorang mahasiswa yang dituduh atas satu kesalahan jenayah, akan digantung daripada menjadi mahasiswa sehinggalah keputusan prosiding jenayah itu diselesaikan. Maknanya jika 7 tahun masih lagi tidak diselesaikan, maka pelajar tersebut akan terus menganggur dan hilang status kemahasiswaan.

Selain itu, pindaan yang sudah diluluskan Kabinet itu masih mengekalkan peruntukan Seksyen 15 (1) AUKU yang tidak membenarkan mahasiswa menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik.

Sebagai gantiannya, mereka boleh menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik dan ini dilihat satu perkembangan positif oleh GMUKM walaupun kebebasan secara mutlak dilaksanakan.

Kepada mahasiswa yang aktif berpersatuan dan sukakan udara segar demokrasi, proses bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat Ogos ini adalah amat dinantikan oleh mereka semua dan GMUKM berkeyakinan penuh bahawa pindaan AUKU ini akan tetap disokong oleh 222 ahli Parlimen kita.

HAZMAN ABDULLAH
Gabungan Mahasiswa UKM

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !