Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, October 19, 2008

Gejala Rakaman Jijik Pelajar Sekolah Wajar Diatasi

Penyebaran rakaman-rakaman lucah melibatkan pelajar sekolah di internet bukanlah satu perkara yang asing atau alibi bagi masyarakat kita. Perbuatan jijik merakam aksi lucah sebagai koleksi semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar, menyebabkan lambakan klip video membabitkan mereka yang berpakaian seragam sekolah ini yang tersebar di internet dan telefon bimbit. Terbaru, dalam akhbar Kosmo! hari ini (19 Oktober), muka depan yang bertajuk : Apa sudah jadi? - Aksi panas pelajar cetus kebimbangan semua pihak. 5 Klip video dikatakan membabitkan pelajar di Chukai, Kemaman dan tempoh aksi rakaman itu antara dua dan empat minit lengkap dengan rakaman suara si pelaku.





Kalau dahulu hanya artis, pekerja kilang dan pelajar Universiti sahaja yang terlibat dalam rakaman tidak bermoral ini, namun senarionya kini berubah apabila klip video lucah membabitkan remaja belasan tahun, termasuk pelajar berpakaian seragam terlibat sama dan tersebar secara meluas serta ’diburu’ oleh penggemar bahan lucah ini.

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) melihat masalah ini adalah satu isu yang sentiasa bergerak di dalam masyarakat kita tetapi malangnya dianggap sebagai biasa oleh masyarakat hari ini sehinggalah ia semakin menular dikalangan pelajar ini. GMUKM kecewa apabila melihat budak-budak sekolah yang umurnya baru setahun jagung, tetapi sudah kemaruk dengan adegan bagi mereka yang sudah berkahwin itu. Lebih malang lagi, ada pula yang langsung tidak malu apabila adegan lucahnya dirakam lengkap dengan berpakaian sekolah.









Terdapat banyak faktor menyebabkan gejala tidak sihat ini menular dikalangan pelajar terutamanya melayu islam. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah oleh pihak berkuasa telah menyuntik tenaga dan semangat kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini. Walaupun kita disajikan dengan berita bahawa hukuman berat akan dikenakan ke atas gejala ini, namun kesannya tidaklah menggerunkan pesalah juvana ini untuk melakukan perbuatan itu. Kes seorang ahli perniagaan, Ahmad Bakhtiar Abdul Kayoom yang telah dihukum penjara enam bulan kerana menceroboh dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman pelakon dan model terkenal, Nasha Aziz baru-baru ini tidak menggentarkan pelajar untuk melakukan kesalahan yang serupa.









Jelab bahawa hukuman ke atas pesalah tersebut tidak mengerunkan pelajar apatah lagi dengan amaran oleh seksyen 509 kanun Keseksaan berhubung kesalahan mengedar gambar lucah. Walaupun remaja berusia 21 tahun ke bawah tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak 2001, tetapi mereka turut boleh dikenakan hukuman dan perbezaannya, pesalah juvenil ini akan diletakkan sel penjara berasingan dengan pesalah dewasa.

GMUKM turut menggesa agar pihak polis menyiasat semua klip video melibatkan pelajar dan tindakan tegas perlu diambil sebagai amaran kepada semua pihak untuk tidak melakukan jenayah yang serupa.

Pada masa yang sama juga, pihak sekolah juga perlu berperanan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui ada perlakuan sumbang di kalangan pelajar mereka.Tindakan menyembunyikan hal dalaman yang mengaibkan ini daripada pengetahuan umum oleh pihak sekolah bukanlah satu tindakan bijak, tetapi secara halus telah membunuh masa depan pelaku jenayah itu dan juga bakal-bakal pelajar yang kebarangkalian akan menuruti jejak langkah haram ini.

GMUKM turut mengenalpasti antara punca utama yang menyumbang kepada perlakuan jijik itu adalah wujudnya lambakan video lucah yang boleh diperoleh dengan mudah, sama ada daripada penjual haram atau akses internet. Disebabkan itu, remaja masa kini tidak dapat mengawal nafsu mereka dan seterusnya ke peringkat terdesak untuk memuaskan nafsu dan sebab itulah timbulnya keberanian merakam perbuatan lucah yang dilakukan berikutan adanya kemudahan untuk berbuat demikian. Jadi, langkah menyekat akses remaja daripada melayari laman web lucah perlu dilaksanakan segera walaupun kita tahu, tiadanya perjanjian sedemikian dengan Syarikat Internet Antarabangsa berkaitan perkara ini semasa pelancaran Malaysia Super Coridor (MSC) kira-kira 11 tahun lalu.

Juga bahan-bahan picisan yang menbanjiri industi akhbar dan majalah di negara ini turut menyumbang kepada gejala ini. Situasi ini perlu dipantau oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Kalau dahulu, kita melihat berlaku penguatkuasaan yang serius terhadap penjualan bahan-bahan porno bercetak ini seperti yang diperlihatkan dalam kes Mohamad Ibrahim melawan Pendakwaraya awal 90an lalu, tetapi sekarang seolah-olah industri ini boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya. Pihak akhbar kompak harian juga perlu bertanggungjawab dalam sesuatu penerbitan dan bukannya memikirkan keuntungan melalui penyiaran isu-isu dan gambar picisan.

Selain itu, hukuman yang longgar oleh pihak sekolah menyebabkan isu ini semakin menjadi-jadi. Hukuman tatatertib kurang dikenakan kepada pelajar yang melakukan kesalahan seperti mengedar, memiliki, membawa, melukis dan mempamerkan bahan lucah. Juga kesalahan seperti mencetak rakaman dan mutlimedia terlarang dan ini dapat dilihat dalam peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957 berhubung dengan syarat pelaksanaan hukuman rotan yang boleh dikenakan ke atas pelajar. Pelajar dalam klip video lucah terbabit juga boleh dihantar ke lokasi yang bakal membuatkan mereka benar-benar insaf dan pada masa sama, ia boleh dijadikan pengajaran kepada pelajar lain.









Penggunaan telefon bimbit secara meluas di sekolah turut menyumbang kepada peningkatan gejala tidak sihat ini. Terdapat satu trend seolah-olah merakam video lucah di sekolah dengan memakai uniform sekolah akan menerbitkan satu kepuasan yang tinggi kepada pelaku seks muda ini. Telefon bimbit yang menjadi teman mainan harian pelajar sekolah menjadikan sebilangan golongan itu ‘penagih porno’ dengan membabitkan diri dalam aktiviti memuat turun ratusan klip video lucah dengan hanya bayaran serendah 50 sen atau sebatang rokok.

Dengan memiliki pelbagai model telefon bimbit yang dilengkapi kemudahan Bluetooth, pelajar terbabit termasuk seawal usia 12 tahun mampu menikmati aksi ranjang klip video seks di dalam telefon bimbit masing-masing. Dicadangkan agar penggunaan telefon bimbit diharamkan terus kepada golongan pelajar yang ditandakan sebagai pelajar ’bermasalah’. Hal ini sejajar dengan arahan Kementerian Pelajaran yang sehingga kini mengharamkan penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar membabitkan kawasan sekolah sejak April 2006 lalu.

Tindakan bukan untuk menceroboh privasi anak muda kita tetapi lebih kepada pandangan pelbagai pihak dan berdasarkan kesan penggunaan telefon bimbit yang disifatkan boleh mengganggu proses pembelajaran di sekolah.Guru pula diberi kuasa merampas telefon bimbit milik pelajar sekiranya didapati menggunakannya di kelas dan menyerahkannya semula kepada ibu bapa pelajar berkenaan selepas aduan dilakukan. Inilah langkah yang terbaik bagi mengelakkan penggunaan secara meluas rakaman lucah pelajar di sekolah-sekolah.

GMUKM turut melihat bahawa perlakuan sumbang dan memalukan itu berlaku kerana masih kurangnya kempen dan usaha penerapan nilai modal insan di kalangan pelajar oleh pihak berwajib. Oleh itu, GMUKM berharap agar syarikat swasta dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) memainkan fungsi lebih aktif di dalam perkara berkaitan modal insan dan moral terutama di kalangan pelajar.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam membentuk anak masing-masing. Pemahaman agama dan budaya amatlah penting untuk diterapkan sejak dari kecil lagi dan nuntuk umat melayu islam, amalkanlah ajaran Islam sepenuhnya sebagai cara panduan bimbingan hidup.

GMUKM melihat pokok pangkalnya kepada permasalahan ialah pada institusi kekeluargaan yang utuh. Walau bagaimana sibuk sekalipun, ibu bapa wajib memberikan perhatian kepada anak, meluangkan masa untuk bersama mereka dan memahami kehendak jiwa mereka dan bukannya mewujudkan keluarga yang ‘kebaratan’. Ibu bapa seharusnya menjadi contoh terbaik dengan mewujudkan hubungan rapat dan mesra antara ibu dan bapa, dan antara ibu bapa dengan anak. Berapa ramaikah remaja golongan pelajar yang datang dari keluarga bermasalah yang mampu bertatih menanggung onak duri dan rintangan untuk berjaya? Mereka masih muda, mentah dan masih mendambakan perhatian yang secukupnya dari keluarga.

Masyarakat sekeliling turut bertanggungjawab dalam hal ini dengan membantu pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang ke arah kebaikan para pelajar yang terjerumus kepada perbuatan kotor ini. Keprihatinan masyarakat terhadap mereka amat penting dalam usaha memimpin mereka mengawal tindak tanduk yang lebih positif. Setiap ahli masyarakat yang melihat perlakuan negatif remaja sekolah perlu menegur dan menasihati mereka. Dengan kata lain, keprihatinan dan kawalan sosial yang semakin hilang dalam masyarakat, baik di kota mahupun di desa perlu dikembalikan, bahkan disuburkan kembali. Secara mudahnya, masalah perilaku remaja sekolah ini melibatkan tanggungjawab semua pihak dan kita tidak boleh seratus peratus salahkan ramaja atas gejala ini.

Secara kesimpulannya, terdapat banyak faktor yang perlu ditimbangkan sebelum kita boleh menunding jari siapa penyumbang utama isu ini. Bak kata pepatah “ Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.” Maka, adalah wajar bagi semua pihak untuk sentiasa menangani dan prihatin dengan gejala rakaman lucah di kalangan para pelajar. Sebagai abang generasi kedua kepada pelajar yang ada pada hari ini, kami sebagai mahasiswa amat mengambil mengambil berat tentang gejala yang boleh meruntuhkan negara ini kelak.

GMUKM tidak mahu masa depan para pelajar hancur dan terus hancur dengan gejala sosial (their future just getting bleak and bleak with social problems) kerana kami sayang akan generasi pelapis ini untuk sama-sama membina negara tercinta ini ke arah suasana yang lebih baik pada masa mendatang. Semoga para pelajar sekolah yang terjerumus dengan perilaku jenayah dan moral, agar mereka sentiasa peka dan terus berusaha untuk menjadi seseorang yang merdeka, bagi memberikan harapan positif kepada pemimpin-pemimpin kita pada hari ini yang sudah pasti akan meninggalkan negara ini kelak kepada generasi akan datang.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !