Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, October 21, 2008

GMUKM bantah Mahathir hadiri forum


KUALA LUMPUR, 21 Okt (Hrkh) - Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) membantah kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ke Forum Perpaduan yang bertajuk 'Hala tuju Perpaduan Malaysia Ke Arah Tahun 2020' anjuran Urusetia Integrasi Perpaduan Kaum pada 21 Oktober ini di Dewan Anuar Mahmud, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM Bangi.

Jurucakapnya, Hazman Abdullah memberitahu Harakahdaily, bantahan tersebut dibuat kerana sikap protes GMUKM terhadap tindakan Tun Dr Mahathir terhadap suasana politik negara pada masa kini.

"Kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan Umno 'mengusir orang-orang Abdullah' dalam pemilihan parti itu Mac depan dilihat seolah-olah seperti pengarah pilihan parti UMNO yang menentukan 'siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan' dan ini satu ancaman kepada konsep demokrasi," ujarnya.

Menurut Hazman, Mahathir sepatutnya tidak mencampuri urusan pemerintahan negara dan sepatutnya hanya menjadi pemerhati dan bukannya dilihat cuba menjadi 'mastermind' kepada Dato' Seri Najib Tun Razak yang akan mengambil alih pemerintahan negara ini pada Mac akan datang.

"Sepatutnya biarkanlah Abdullah memegang jawatan Perdana Menteri selama lima bulan ini untuk melakukan reformasi terhadap badan kehakiman, penambaikan terhadap polis, sistem aduan awam dan pelbagai lagi pembaharuan yang tidak dikecapi sepanjang 22 tahun Mahathir menjadi Perdana Menteri," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), sebuah pertubuhan yang bergabung di bawah GMUKM.

Katanya, Mahathir turut mempunyai hutang kepada mahasiswa berkaitan tindakannya menahan tujuh mahasiswa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) pada 8 Jun 2001.

Sehingga kini, pelajar-pelajar terbabit tidak dibenarkan mengikuti pengajian di universiti masing-masing iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hal tersebut telah menyebabkan pengajian mereka terbantut, sehingga ada yang terpaksa mencari pekerjaan kerana tidak dapat meneruskan pengajian.

"Mahathir patut rasa malu dan bersalah kerana ingin menjejakkan kaki ke menara gading disebabkan oleh pelanggaran hak asasi mahasiswa selama ini termasuklah penghapusan pemberian biasiswa kepada bumiputera dan juga pencabulan serius terhadap bahasa kebangsaan pada zaman pemerintahannya," tegasnya.

Hazman berkata, GMUKM menyeru kepada seluruh mahasiswa UKM dan juga universiti lain untuk memboikot kehadiran bekas Perdana Menteri keempat ini kerana terdapat banyak lagi tokoh lain yang berautoriti untuk bercakap soal perpaduan dan hala tuju mahasiswa.

"GMUKM turut membantah sikap dan permainan pihak Hal Ehwal Pelajar yang hanya meluluskan kemasukan pemimpin Umno ke dalam kampus sedangkan pemimpin pembangkang dilarang berucap dan sekiranya ada, program tersebut akan dipantau dan ditekan habis-habisan," tambahnya.

Kira-kira 500 ahli GMUKM dan beratus-ratus lagi penyokong gerakan mahasiswa terbabit menyatakan persetujuan untuk memboikot program tersebut sebagai tanda bantahan terhadap kehadiran Mahathir.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !