Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, October 5, 2008

GMUKM : Mendepani Massa Untuk Kebajikan Mahasiswa


Sejarah perjuangan mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) amatlah panjang dan penuh dengan pelbagai cabaran. Semenjak 1976 hingga sekarang, pelbagai pancaroba dan tribulasi mewarnai sejarah gerakan mahasiswa di Universiti yang ditubuhkan atas semangat melayu pada tahun 1976 itu. Dalam susur galur gerakan mahasiswa di sana, UKM telah bejaya melahirkan ramai pemimpin berkaliber antaranya ialah Abdul Halim Arshad ( 1973/74), Dato’ Fuad Hassan (1976), Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik (1976), Mustafa Kamil Ayub (1984/85), Ustaz Idris Ahmad (1988/89), Ustaz Abdul Ghani Ahmad (1991/92),dan Yang Berhormat Ramli Ibrahim, Ahli Parlimen Muar (1992/93).

Meneruskan agenda melahirkan kepimpinan pelajar yang akan menerajui kepimpinan negara, maka Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) bergerak langkah gagah menuju wawasan tersebut. Menurut sejarah awal penubuhan, GMUKM didasarkan kepada beberapa pertemuan awal dengan pimpinan tertinggi setiap gerakan sebelum rundingan penuh bersama semua pimpinan dilakukan. Hasilnya, pada tanggal 22 Ogos 2005, satu persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia atau ringkasnya disebut GMUKM.

Gabungan Mahasiswa ialah sebuah pakatan mahasiswa/i yang memperjuangkan tiga dasar utama iaitu Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu,proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti .Juga kebajikan semua mahasiswa/i dan masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tanpa mengira batasan agama dan kaum serta nilai keintelektualan dan keilmuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Gabungan mahasiswa pelbagai kaum ini dianggotai oleh 10 front mahasiswa iaitu Membina Mahasiswa Penggerak Ummah (IPU-MAMPU) sebagai Pengerusi GMUKM, Gerakan Mahasiswa Maju (GMM), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/i (JKMI), Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Gerakan Pelajar Intelek Malaysia (GAPIM), Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), Solidariti Hak Asasi Mahasiswa UKM(SUHAM), Pertubuhan Mahasiswa Profesional Perubatan & Kesihatan UKM (Pro-PKUKM), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan-persatuan serta Kelab berdaftar yang mendokong dasar GMUKM.

Pakatan mahasiswa/i di atas nama ‘Gabungan Mahasiswa’ secara hujahnya diwujudkan atas dasar disebabkan oleh kerana terdapat terlalu banyak isu yang diperjuangkan secara tidak serius oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM-Aspirasi). Antaranya ialah isu keselamatan diri dan kenderaan, ugutan dan penyalahgunaan kuasa, beban ekonomi mahasiswa yang semakin meningkat, yuran yang tidak masuk akal seperti yuran Alumni dan yuran aktviti Kolej serta pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 1975). Hanya isu yang mempunyai kepentingan Aspirasi sahaja diperjuangkan dan ini menunjukkan kegagalan mereka untuk memimpin semua mahasiswa/i. Selain itu, GMUKM ditubuhkan atas keperluan untuk mewujudkan satu kerjasama melibatkan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat universiti tanpa mengira ideologi dan puak. Apa yang penting adalah memperjuangkan Falsafah Universiti, kebajikan mahasiswa/i UKM serta memartabatkan nilai keilmuan dan keintelektualan dalam kalangan mahasiswa.

Di samping itu, jelas bahawa suara-suara kecil mahasiswa tidak diambil peduli oleh PMUKM-Aspirasi ini. Tambahan pula sebelum daripada ini, suara mahasiswa dipandang sinis oleh mereka dan dikatakan tidak bersepadu kerana hanya segelintir ‘golongan’ yang memperjuangkannya. GMUKM juga amat relevan kerana mahasiswa yang dianggap sebagai golongan yang lemah dan sentiasa ditindas sama ada mahasiswa mahupun kakitangan universiti itu sendiri memerlukan satu kuasa pendesak (task force) dalam membela nasib mereka. Dan jelas, GMUKM diwujudkan atas dasar untuk menjadi alternatif kepada PMUKM-Aspirasi dan juga sebagai check and balance dalam mencapai dan merealisasikan matlamat serta dasar GMUKM.
GMUKM turut membuat satu penjenamaan semula (rebranding) terhadap logo GMUKM. Pelancaran telah dilakukan di Aras 2 Bangunan Pusanika pada 28 Ogos 2008 dan dihadiri kira-kira 100 orang mahasiswa yang berpakaian ungu. Logo ini mengandungi slogan ‘We Love UKM’ yang bermaksud bahawa kami amat sayangkan UKM dan bukannya bersikap anti-establishment sepertimana yang difitnah oleh pihak tertentu. Terdapat juga lakaran mahasiswa mengangkat tangan sebagai simbolik kepada kesungguhan GMUKM untuk melaksanakan tiga dasar utama yang digariskan itu. Logo yang mempunyai garisan berbentuk bulat itu melambangkan perjuangan yang bersifat global dan konsisten. Manakala warna ungu dipilih sebagai warna tema GMUKM kerana warna yang cerah dan ceria itu menggambarkan sifat GMUKM sebagai mesra mahasiswa.

Sememangnya GMUKM sentiasa mengintai peluang untuk mendekati mahasiswa UKM melalui pelbagai aktiviti yang diaturkan atas semangat kebebasan berpersatuan yang diperuntukkan oleh Perkara 10 (c) Pelembagaan Persekutuan. Aktiviti pengenalan GMUKM (road show) di seluruh Fakulti, Pidato Umum, Sudut Speaker Corner, Dialog bersama mahasiswa merupakan aktiviti yang diadakan oleh GMUKM bagi memberikan satu alternatif baru kepada mahasiswa yang selama ini dibutakan mata oleh Aspirasi melalui proksi mereka, Kelab Aspirasi yang wujud di seluruh kolej kediaman. Acara kemuncak GMUKM pada tahun ini ialah pada 15 September lalu apabila satu pidato umum pemimpin GMUKM bertajuk ‘Mahasiswa dan 16 September’ serta sesi dialog telah diadakan di Bangunan Pusanika. Walaupun dihadiri oleh tetamu tidak diundang iaitu Pengawal Keselamatan dan juga Pegawai Hal Ehwal Pelajar, namun program tersebut berjaya dilangsungkan atas semangat ‘Student Power’ yang dilaungkan di Bangunan yang menempatkan pejabat HEP itu.

GMUKM turut mengamalkan cara diplomasi dalam menuntut sesuatu perkara dengan penghantaran memorandum dan petisyen serta surat bantahan. Memorandum menuntut pilihanraya kampus yang adil dan berdemokrasi yang mengandungi 9 tuntutan telah diserahkan secara tangan kepada Naib Canselor pada 15 September lalu manakala Petisyen mendesak pembubaran Kelab Aspirasi di semua Kolej Kediaman turut diserahkan pada 22 Ogos 2008 oleh pemimpin GMUKM. GMUKM turut menghantar surat tujuk sebab daripada Pejabat Bendahari UKM berkaitan isu bebanan ekonomi mahasiswa seperti isu yuran khas Alumni sebanyak RM50, kenaikan khas yuran aktiviti Kolej sebanyak RM 100 dan juga perbezaan yuran penginapan antara satu kolej dengan kolej yang lain. Di samping itu, pemimpin GMUKM turut membantu dalam menyelesaikan kes rampasan laptop ke atas mahasiswa pada 4 Mac yang lalu dan berjaya mendapatkan kembali laptop yang dirampas secara tak sah itu baru-baru ini. GMUKM turut mendepani massa apabila menyatakan pendirian berkaitan isu-isu nasional dan juga isu-isu antarabangsa. Blog yang beralamat di gm-ukm.blogspot.com turut digunakan sebagai medium utama penerangan dalam menyampaikan hala tuju dan misi GMUKM.

Memetik kata-kata keramat Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kebangkitan gelombang reformasi 1998 lalu iaitu ’Jangan soal risiko sekiranya bicara tentang perjuangan”. Kata-kata mantan Timbalan Perdana Menteri ini amat bertepatan dengan cabaran dan rintangan yang dihadapi oelh GMUKM dalam memperjuangkan hak mahasiswa di UKM. Tahun ini sahaja, terdapat tiga pemimpin GMUKM telah di ’ISA’ kan dalam tahanan Pengawal Keselamatan atas tuduhan palsu. Baru-baru ini juga, seorang pemimpin GMUKM, Danalecthumi Langaswaran telah dirampas kad matrik oleh Pegawai Keselamatan dan dimaki hamun oleh segelintir pagawai yang bertindak seolah-olah polis itu. Kekacauan semasa program, pengusiran daripada tempat program, diintip dan diugut merupakan perkara biasa yang ditempuhi oleh para pendukung GMUKM. Walaubagaimanapun, setinggi mana kuasa mereka digunakan untuk menekan mahasiswa, setinggi itulah juga semangat mahasiswa untuk melawan kezaliman mereka. GMUKM tidak gentar dengan amalan tidak berdemokrasi sesetengah pengawai keselamatan dan pihak pentadbiran kerana bagi kami, GMUKM tidak pernah melakukan jenayah sivil mahupun jenayah awam di kampus dan yang ada hanyalah perbuatan yang dianggap ’jenayah’ oleh Apirasi dan pentadbiran kerana menyentuh penyelewengan dan penindasan mereka. GMUKM turut menjalinkan jaringan hubungan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam menjaga kebajikan gerakan mahasiswa ini dan buat permulaan, satu sidang media berkaitan isu kekasaran pengawal keselamatan ke atas mahasiswi India telah dilangsungkan di Aras 27, Pejabat SUHAKAM pada 18 September lalu dan satu memorandum telah diserahkan kepada pesuruhjaya SUHAKAM, Prof Dato Dr.Khoo Khay Kim.
Dengan motto harapan baru mahasiswa, jelas bahawa GMUKM ingin menjadi satu pilihan baru kepada mahasiswa yang selama ini tertipu dengan fatamorgana yang diciptakan oleh pihak Aspirasi itu. Janji manis yang ditaburkan oleh mereka semasa PRK lalu hanyalah satu omongan kosong untuk menipu mahasiswa. Aspirasi jelas sukar untuk geleng-geleng terhadp dasar mahupun keputusan Universiti yang memberikan kezaliman dan bebanan berat kepada seluruh mahasiswa UKM. Mahasiswa UKM perlu sedar dan insaf bahawa GMUKM adalah satu wadah baru yang berpaksikan kepada gerakan massa untuk kebajikan mahasiswa. GMUKM juga berharap agar mahasiswa UKM dapat membuka ruang kepada kami untuk memerintah semula dan mencapai kemenangan pada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2008-2009 kali ini. Ingatlah bahawa GMUKM mampu membawa perubahan baru kepada Universiti dan mahasiswa itu sendiri dalam merealisasikan nilai mahasiswa sebagai golongan yang dianggap jantung pemikiran bangsa dan negara kita pada suatu hari nanti.

Hishamuddin Ali
Setiausaha Kerja Pengerusi GMUKM

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !