Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, October 18, 2008

Keratan Akhbar Kosmo! Dan Utusan Malaysia Berkaitan Tuntutan Demokrasi Mahasiswa


Keratan Akhbar Kosmo!

SEKUMPULAN pelajar universiti menghampiri pengawal keselamatan di Karnival Kerjaya UKM semalam

Karnival UKM kecoh

Oleh ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@kosmo.com.my

BANGI - Kemeriahan sambutan Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, bertukar kecoh apabila sekumpulan kira-kira 200 pelajar bertindak melakukan demonstrasi menuntut pilihan raya kampus disegerakan selama hampir satu jam.

Kumpulan yang dianggotai Solidariti Mahasiswa Malaysia dan disertai oleh gabungan pelajar Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan UKM itu pada mulanya hanya mahu menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Namun, ia kemudiannya menjadi tidak terkawal apabila pengawal keselamatan tidak membenarkan mereka bertemu lebih lama dengan Khaled sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan mereka.

Keadaan kemudiannya bertambah gawat apabila kumpulan tersebut tidak berpuas hati dengan layanan pengawal keselamatan yang dianggap mereka sebagai 'kasar' menyebabkan hampir meletus pergaduhan.

Kekecohan itu kemudiannya memaksa campur tangan pihak polis mengawal keadaan tetapi kumpulan pelajar tersebut tetap tidak berganjak.

Keratan Akhbar Utusan

Mahasiswa mahu pilihan raya kampus telus

BANGI 17 Okt. - Lebih 100 mahasiswa daripada empat universiti mengadakan demonstrasi selepas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada penuntut empat buah universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).

Sambil memegang kain rentang yang bertulis Mahasiswa Menuntut Pilihan Raya Kampus Yang Telus dan Adil dan Membantah E-Voting, kumpulan pelajar berkenaan turut bersorak mahukan pilihan raya kampus yang bebas.

Kumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka Solidariti Mahasiswa Malaysia berdiri di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM dan mula bersorak apabila Mohamed Khaled berjalan masuk ke dalam dewan untuk meninjau pameran karnival kerjaya dari khemah pelancaran.

Turut mengiringi Mohamed Khaled ketika itu ialah Naib Canselor UKM, Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.

Suasana menjadi agak tegang apabila pengawal UKM menghalang mereka daripada mara menghampiri pintu masuk dewan tempat pameran kerjaya berlangsung.

Namun kehadiran sebuah kereta peronda polis yang meminta semua pihak bersurai dan bertenang dalam masa lebih kurang 15 minit selepas demonstrasi berkenaan bermula berjaya mengawal keadaan. Difahamkan tiada pelajar yang ditahan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hafizuddin Abirerah yang merupakan seorang mahasiswa UM berkata, pihaknya membantah pilihan raya kampus kali ini yang tidak dijalankan serentak di semua universiti seluruh negara.

"Kami juga menolak sistem pengundian secara elektronik iaitu e-voting kerana ia tidak menjamin ketelusan.

"Demonstrasi ini tidak didalangi mana-mana pihak luar," katanya.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !