Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, October 10, 2008

Sembilan tuntutan desak UKM jalankan pilihan raya dengan adil



KUALA LUMPUR, 9 Okt (Hrkh) - Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mendesak Naib Canselor UKM, Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin supaya mengambil tindakan segera bagi memenuhi sembilan tuntutan bagi memastikan perjalanan Pilihanraya Kampus berlangsung secara adil dan mengikut landasan demokrasi.

Pengerusinya, Ahmad Farhan Yusoff berkata, pihaknya optimis dengan keputusan Naib Canselor yang akan berpihak kepada GMUKM memandangkan tuntutan mereka adalah berlandaskan undang-undang dan juga keadilan sejati (natural justice).

"Keputusan Naib Canselor UKM untuk melakukan reformasi dalam sistem pilihanraya kampus (PRK) adalah sangat diperlukan bagi memberikan satu signifikan yang besar terhadap aspek ketelusan dan juga penyemaian benih demokrasi di kampus ini.

"PRK ibarat terjemahan kepada pilihanraya umum akan datang. Sekiranya PRK pada tahun ini dilaksanakan dengan tidak adil serta tidak berdemokrasi, dibimbangi situasi yang sama akan berlaku pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti," ujarnya.

Jelasnya, GMUKM akan masuk bertanding dalam PRK kali ini secara satu lawan satu dengan kumpulan pro-Aspirasi dan berharap agar padang pertandingan diratakan antara kedua-dua belah pihak.

"Kita berharap pihak Naib Canselor yang mempunyai kuasa pemutus di dalam perjalanan PRK di UKM agar memastikan bahawa perjalanan PRK pada tahun ini berjalan secara adil dan demokratik serta tiada pihak yang dikecualikan daripada tindakan undang-undang sekiranya mereka melanggar peraturan".

"Kami tidak akan berkompromi dan berdiam diri sekiranya GMUKM terus ditipu dan dipermainkan manakala PRK terus menjadi satu pilihanraya yang penuh dengan penipuan dan pnyelewengan sama seperti tahun-tahun sebelum ini," tegasnya.

Katanya, GMUKM akan bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Majlis Peguam, semua ahli Parlimen dan Canselor sendiri, Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, sekiranya sembilan tuntutan tersebut ditolak oleh Naib Canselor dan pentadbiran UKM.

Justeru, Farhan berharap agar sembilan tuntutan PRK itu dapat dilaksanakan sebelum berlangsungnya PRK yang dijangka pada pertengahan bulan Oktober ini.

Sementara itu, jurucakap GMUKM merangkap Setiausaha Kerja kepada Pengerusi GMUKM, Hishamuddin Abdullah, pula menjelaskan bahawa tempoh masa yang diberikan kepada pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan 9 tuntutan PRK adil dan berdemokrasi ini telah berlalu pada 29 September yang lepas.

"Kami masih menunggu jawapan daripada Pejabat Naib Canselor berhubung tuntutan ini dan amat berharap agar ia dapat dilaksanakan pada PRK tahun ini."

"PRK di UKM perlu menjadi satu-satunya pilihanraya rujukan (landmark election) kepada kampus-kampus lain dalam mempraktikan amalan demokrasi di peringkat Universiti, yang seterusnya menyumbang kepada penerapan makna demokrasi tulen dalam kalangan mahasiswa melalui pilihanraya yang adil dan berdemokrasi," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Jelasnya, sembilan tuntutan yang dilakukan oleh GMUKM adalah berdasarkan hujah undang-undang dan etika moral dan bukannya berdasarkan emosi dan pemahaman politik.

Sebagai contoh, GMUKM membantah keenganan pengetua untuk mengumumkan keputusan pengiraan undi di kawasan peti undi dan hanya mengetahui keputusan pilihanraya melalui laman web kerana ia bercanggah dengan Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Pemilihan (Perjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2007/ 2008 yang menyatakan bahawa ketua tempat mengundi hendaklah mengumumkan secara rasmi keputusan pemilihan kepada calon-calon dan agen-agen calon.

"Selain itu, larangan calon dan wakil calon untuk memasuki Pusat Komputer, satu tempat penjumlahan undi untuk melihat proses penjumlahan undi adalah sama sekali bercanggah dengan Peraturan 51 Peraturan-Peraturan (Panduan Calon) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2007/ 2008 yang membenarkan calon, wakil pemilihan atau wakil mengira undi, untuk masuk ke dalam Pusat Komputer menyaksikan proses pengiraan undi, katanya yang bertindak sebagai ketua pengkaji undang-undang pilihanraya kampus.

Tambahnya lagi, GMUKM amat berharap agar kuasa dan peranan ketua tempat mengundi dikembalikan semula kepada Dekan Fakulti yang sebelum ini dipegang secara tidak sah oleh Pengetua Kolej pada pilihanraya kampus lalu. Hal ini kerana Dekan Fakulti merupakan ketua tempat mengundi berdasarkan Peraturan 7 (3) Peraturan-Peraturan Pemilihan (Perjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2007/ 2008.

"Pengembalian semula hak dan fungsi Dekan sebagai ketua tempat mengundi secara langsung akan menukar tempat mengundi iaitu daripada kolej kediaman sebelum ini ke fakulti dan ini selari dengan peruntukkan Seksyen 52 (2)(a)(b) Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (Pindaan 1998) yang telah menetapkan bahawa suatu pemilihan bagi memilih ahli MPP perlu diadakan di Fakulti," ujarnya.

Secara faktanya, pengundian di Kolej Kediaman menimbulkan pelbagai masalah dan penyelewangan seperti ugutan buang kolej oleh Pengetua, wujudnya skuad pengintip kolej yang akan memantau pergerakan pelajar pro mahasiswa dan juga akan menyebabkan peratusan keluar mengundi berkurangan kerana universiti tidak menjadikan hari pengundian sebagai hari cuti dan kuliah tetap berjalan seperti biasa yang menyebabkan mahasiswa malas membuang undi di Kolej mereka.

Ia juga tidak relevan kerana pengundian dibuat di luar kawasan kerana MPP dipilih berdasarkan kerusi fakulti, bukannya kerusi kolej. Beliau memberikan contoh seorang pengundi yang tinggal di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak, tetapi terpaksa buang undi di peti undi di DUN Bangi.

"GMUKM berharap agar pihak pentadbiran dapat memenuhi 9 tuntutan yang dikemukakan oleh kami selewat-lewatnya 15 Oktober ini.

Jangan salahkan kami sekiranya berlakunya demontrasi mahupun perhimpunan mahasiswa sekiranya memorandum itu dibakul sampahkan oleh pihak pentadbiran kerana bagi kami, kebenaran dan kerelevanan tuntutan ini yang dilatari dengan hujah undang-undang wajar dilaksanakan bagi mewujudkan suasana demokrasi tulen di kampus seluas 1,142 hektar ini," katanya.

Pada 8 September lalu, satu penghantaran memorandum menuntut Pilihanraya Kampus yang adil dan berdemokrasi telah diserahkan kepada Naib Canselor oleh pihak Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM).

Memorandum tersebut mengandungi 9 tuntutan iaitu tempat untuk membuang undi ditukar ke fakulti dan bukan lagi di kolej kediaman, mewujudkan satu jawatankuasa pemantau pilihanraya yang benar-benar telus, mewujudkan kembali Malam Manifesto Calon dan menghapuskan nombor siri pada kertas undi.

GMUKM juga menuntut agar proses pengumuman keputusan pengiraan undi hendaklah dijalankan mengikut undang-undang, larangan Kelab Aspirasi untuk terlibat secara langsung dalam Pilihanraya Kampus (PRK), menukarkan sistem peti undi tahun Tiga kepada sistem undi semua tahun, tarikh Pilihanraya Kampus ditukar daripada semester I kepada semester II dan wakil calon hendaklah terdiri daripada pelajar fakulti sama dengan calon sahaja dan bukannya mengikut persamaan kolej. - mr _ (Sumber : Harakahdaily)

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !