Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Thursday, November 20, 2008

Kursus Kepimpinan Mahasiswa-Agenda Sulit TNC HEP?



Teka-teki pilihanraya kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (PRK UKM) semakin menemui jawapannya. Terbaru, sumber daripada pihak Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) dan Pejabat HEP sendiri menyatakan bahawa PRK UKM akan dilangsungkan pada 15 Januari tahun hadapan.


Apa yang pasti ialah PRK UKM akan dilangsungkan selepas tarikh 4 Januari 2009. Hal ini kerana satu kursus Kepimpinan Bakal Calon Majlis Perwakilan Pelajar akan dilangsungkan pada tarikh 1 hingga 4 Januari tahun hadapan.


Melalui surat yang ditandatanganii sendiri oleh TNC HEPA, Dato’ Dr Wahid Samsudin, menyatakan bahawa kursus ini adalah wajib kepada mana-mana mahasiswa UKM yang akan menjadi calon MPP sesi 2008/2009 nanti.


Ini jelas satu perancangan sulit pihak pentadbiran yang dilihat telah campurtangan secara langsung ke dalam pilihanraya kampus, yang menjadi medan terbaik kepada mahasiswa untuk belajar erti demokrasi itu sendiri.


Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), Saudara Ahmad Farhan Yusof berkata walaupun kursus itu bagus dari segi latihan daya kepimpinan dan pendedahan awal kepada calon, tetapi ia mempunyai satu agenda sulit untuk mengagalkan pencalonan pihak pro mahasiswa.


“ Kursus kepimpinan yang diwajibkan ini dilihat cuba untuk untuk memberikan satu suasana ketakutan atau culture of fear kepada mahasiswa yang dilihat pro kepada GMUKM, ”ujarnya.


Menurutnya, kursus bakal calon ini akan dijadikan oleh pihak HEP untuk membasuh minda mahasiswa yang bukan Aspirasi dan kemungkinan besar, pasti ada penarikan di saat akhir-akhir oleh calon yang bertanding atas tiket GMUKM akibat tekanan dan juga ugutan setelah identiti mereka diketahui oleh HEP dan Aspirasi.


“ Kami bukannya tidak mahu kursus kepimpinan, tetapi kenapa tidak laksanakan kursus kepimpinan selepas mahasiswa memenangi Pilihanraya Kampus dan bukannya sebelum PRK, kerana mahasiswa yang menjadi MPP perlu dipupuk kepimpinan, bukannya bakal calon yang mungkin tewas dalam PRK nanti,” katanya.


Beliau yang juga merupakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar menegaskan bahawa GMUKM akan memanjangkan isu ini ke pengetahuan pihak media dan juga pihak Majlis Senat Univesiti terhadap isu ini.


Sementara itu, menurut Jurucakap GMUKM, Saudara Fareed Hamlud menyatakan bahawa pilihanraya kampus perlu bersikap terbuka dan adil, bukannya ditentukan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar itu sendiri.


“ Pilihnraya kampus adalah gelangang bagi mahasiswa dan penganjuran bengkel ini dilihat sebagai HEP yang mencaturkan calon mana yang boleh bertanding, mana yang tidak dan ini satu kezaliman kepada mahasiswa,” ujarnya.


Katanya lagi sekiranya ingin laksanakan bengkel juga, perlu lebih bersikap terbuka dan bukannya dihadkan kepada mahasiswa yang ingin menjadi calon sahaja kerana ia seolah-olah ada muslihat disebalik bengkel ini.


Beliau turut mempersoalkan kewajaran kehadiran bakal calon ke bengkel ini sebagai syarat untuk bertanding kerana ia dilihat sebagai satu syarat mutlak yang menafikan hak mahasiswa untuk bebas menjadi calon.


“ Penganjuran bengkel lebih bertepatan diadakan selepas pilihanraya kampus bagi memberi pendedahan kepimpinan kepada calon yang menang kerana sebelum ini, kita lihat bahawa kepimpinan mahasiswa Aspirasi walaupun menang, tetapi gagal untuk memimpin mahasiswa”, ujarnya kepada wartawan GMUKM.


Saudara Fareed turut menyatakan akan melakukan tindakan protes terhadap penganjuran bengkel ini dan meminta pihak bertanggungjawab yang mengadakan bengkel ini agar memberikan penjelasan kepada mahasiswa tentang isu ini.


“ Jangan salahkan mahasiswa sekiranya mahasiswa bertindak agresif melawan penipuan ini kerana mahasiswa bukannya seperti kerbau, yang boleh ditarik hidungnya sesuka hati”


“ Mahasiswa mempunyai maruah dan harga diri yang tidak boleh dipermainkan oleh pihak HEP yang selama ini telah banyak menzalimi dan menipu mahasiswa terutamanya dalam isu pilihanraya kampus”, katanya yang merupakan seorang aktivis mahasiswa UKM.


Bagi jurucakap GMUKM merangkap Setiausaha Kerja Pengerusi GMUKM, Saudara Hishamuddin Abdullah pula berkata bahawa tindakan pihak pentadbiran adalah satu bukti jelas bahawa mereka ingin terlibat sama dalam soal pemilihan wakil pelajar dan Pilihanraya Kampus.


“ Satu persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa mereka yang berstatus bukan mahasiswa beria-ia masuk campur ke dalam urusan mahasiswa dan adakah ada nilai kepentingan politik luar apabila mereka berjaya memenangkan pihak Aspirasi itu? ” soalnya.


“ Pihak pentadbiran perlu sedar dan insaf bahawa pelajar bukannya budak sekolah tadika, yang perlu sentiasa dipantau pergerakkannya dan jika pemimpin negara pada masa akan datang lahir sebagai seorang pemimpin rasuah dan tiada pendirian, pihak pentadbiran perlu bertanggungjawab,” tegasnya.


Beliau kesal kerana bakal calon terpaksa mendedahkan identiti mereka sebelum hari penamaan calon dan apa-apa boleh berlaku antara tempoh penamaan calon itu dan sejarah pernah membuktikan bahawa bakal calon yang diketahui identitinya, akan diugut dan dihantar surat amaran kepada keluarga masing-masing malahan lebih dahsyat, dipukul oleh pihak tidak bertanggungjawab.


“ GMUKM berpendirian tegas untuk tidak melayan sebarang peraturan anti-demokrasi oleh pihak pentadbiran dan akan memboikot kursus kepimpinan tersebut kerana ia tidak relevan dan terbukti mempunyai mala fide atau niat yang jahat;” tegasnya.


Tambahnya lagi bahawa Undang-Undang Pilihanraya Kampus tidak pernah menyatakan bahawa seseorang bakal calon perlu menghadiri kursus sebelum mereka layak mendaftarkan diri sebagai calon dan tindakan ini dilihat sebagai satu taktik kotor untuk memenangkan pihak Aspirasi pada PRK akan datang.


“ Paling mengejutkan ialah kuasa budi bicara HEP untuk menolak permohonan mahasiswa yang ingin ke kursus tersebut yang secara automatiknya, akan menutup ruang kepada bakal calon untuk mendaftarkan diri semasa hari penamaan nanti,” ujarnya yang juga merupakan seorang pemimpin mahasiswa UKM.


Notis pemnberitahuan kursus yang dikeluarkan oleh Pejabat TNC HEPA itu telah dikesan ditampal pada 17 November lalu di sekitar Pusanika. Bagi bakal calon PRK akan datang, mereka dikehendaki mengisi borang data diri secara lengkap dan dihantar sebelum 19 Disember ini. Satu tindakan yang dilihat oleh GMUKM sebagai tindakan desperado dan ultra vires (perlakuan di luar bidang kuasa) untuk menyegarkan kembali Aspirasi yang telah lumpuh selama ini akibat perpecahan dalaman dan juga kerana tiada ideologi perjuangan yang jelas dan menyakinkan.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !