Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, March 4, 2009

Selesaikan Segera Krisis Politik Perak Demi Kepentingan Rakyat


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia melihat isu rampasan kuasa (coup d"etat) kerajaan Perak semakin memuncak dengan sidang tergempar DUN pada hari ini (3 Mac 2009) telah diadakan di bawah sepohon pokok berdekatan tempat letak kereta di depan Bangunan Perak Darul Ridzuan. Sidang di bawah pokok ini diadakan setelah kesemua wakil rakyat Pakatan Rakyat dan Speaker tidak dibenarkan masuk ke dalam Bangunan Dewan Undangan Negeri Perak.

Sidang yang mencipta sejarah unik di negara ini telah diadakan di bawah sepohon pokok, dan kesemua 27 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin hadir dengan dipengerusikan oleh Speaker yang berpakaian rasmi.

GMUKM melihat krisis ini akan semakin berpanjangan sekiranya tidak dilaksanakan usul kedua pada sidang di bawah pokok itu iaitu usul untuk mengadakan pilihanraya kecil di Seluruh Perak. Hal ini kerana usul itu telah menggambarkan akan keadaan menang-menag (win win situation) antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Berilah hak kepada rakyat untuk melaksanakan sekali lagi tanggungjawab bagi memilih kepimpinan negeri mereka.

Bagi GMUKM, tindakan Speaker meluluskan usul pembubaran DUN adalah langkah yang bijak dan bersifat untuk tidak memanjangkan lagi isu tersebut. Hal ini kerana rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan berkeyakinan dalam pemerintahan negeri.

Sememangnya kuasa Speaker amat luas dalam penafsiran Undang-Undang. Imuniti Speaker amat kebal daripada laporan polis mahupun perintah injunksi. Kita juga perlu sedar bahawa doktrin pengasingan kuasa (doktrin of power) yang diamalkan di negara ini memihak Speaker. Speaker yang merupakan entiti penting dalam bidang legislatif, tidak semudah itu boleh dicabar oleh pihak badan kehakiman dan badan eksekutif.

Justeru itu, GMUKM yakin bahawa tindakan Speaker dalam meluluskan usul pilihanraya semula sebagai jalan yang terbaik. Speaker sebenarnya boleh untuk melantik terus Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang baru dengan terus menggantung 7 ADUN BN termasuk Dato Dr Zambry, tetapi ia tidak selari dengan semangat demokrasi dan akan terus menimbulkan huru hara di negeri yang kaya dengan biji timah itu.

Dan pada hari ini, kita lihat isu ini akan terus berpanjangan apabila kes ini dibawa ke mahkamah. Walaupun saluran mahkamah mampu menyelesaikan isu ini, tetapi ia tidak memberi kesan yang positif pada krisis politik Perak ini. Jika kita lihat sejarah lampau, bagaimana kes lompat parti Nordin Salleh, ADUN Sungai Pinang daripada PAS ke UMNO walaupun diistiharkan sah oleh Mahkamah Persekutuan, tetapi ia beri kesan berpanjangan hinggakan terpaksa diadakan pilihanraya baru di DUN dan hasilnya, ADUN katak itu tewas di tangan pengundinya sendiri.

Jelas bahawa penyelesaian melalui mahkamah tidak akan memberikan kesan serius kepada masalah politik Perak. GMUKM turut kesal dengan larangan peguam persendirian mewakili Speaker DUN Perak V Sivakumar. Keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim mewajibkan penasihat undang-undang negeri mewakili Sivakumar, boleh mencemarkan prosiding yang membabitkan pertelingkahan antara BN dan Pakatan Rakyat.Hal ini adalah kerana penasihat undang-undang itu sendiri berada dalam kedudukan konflik kerana beliau mewakili Dr Zambry dalam kes menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mencabar kesahihan pelantikan wakil rakyat BN itu. GMUKM menggesa agar keadilan perlu ditegakkan dan ia perlu dilihat telah ditegakkan sepenuhnya.


Secara hujahnya, GMUKM menggesa agar kedua-dua pihak kembali ke meja undian dan biarlah rakyat Perak membuat penilaian terhadap kedua-dua parti gabungan tersebut. Biarlah kedua-dua parti tersebut melaburkan duit berjuta-juta ringgit dalam pilihanraya asalkan rakyat dapat menikmati kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Janganlah rakyat terus tersepit antara kepentingan kedua-dua gagasan politik ini ibarat gajah sama gajah bergaduh, pelanduk di tengah mati tersepit.

Hishamuddin Abdullah

Pengerusi GMUKM 09/2010

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !