Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, May 18, 2010

UKM wujud hasil perjuangan mahasiswa

Gagasan untuk menubuhkan sebuah universiti kebangsaan bagi tanah air tercinta buat pertama kalinya dibangkitkan seawal 1920-an. Cadangan ini dibawakan Abd Kadir Adabi demi memenuhi keperluan pendidikan orang Melayu pembangunan Bahasa Melayu. Lewat tahun 1930-an gagasan ini terus berkembang dan menjadi idaman yang tersemat kemas dalam sanubari orang Melayu khususnya semasa zaman penjajahan British. 

Ia kemudian diperjuangkan secara terbuka dan aktif pada tahun 1940-an dan 1950-an apabila Persekutuan Kesatuan Guru Melayu Semenanjung mendesak agar Bahasa Melayu mendapat tempat sewajarnya di tanah air tercinta ini. Juga antara desakan juga supaya tahap sekolah-sekolah  Melayu ditingkatkan supaya anak Melayu mendapat peluang pelajaran tertinggi.

Atas desakan rakyat, khususnya para pelajar sekolah rendah aliran Melayu yang mengadakan tunjuk perasaan seluruh negara pada tahun 1958, maka pada tahun tersebut sekolah menengah aliran Melayu diwujudkan. Peristiwa ini membangkitkan semangat lagi dan memberikan tekanan kepada kerajaan untuk menubuhkan universiti kebangsaan. 

Sementara dalam tahun-tahun yang sama golongan agama dan cendiakawan Islam tempatan melahir dan menyuarakan peri pentingnya kewujudan Universiti Islam sebagai peningkatan kepada pengajian Islam bagi sekolah-sekolah aliran agama yang mana tahap tertingginya ketika itu ialah Kolej Islam Klang. Salah seorang cendiakawan yang menyuarakan hal ini ialah Dr Ungku Omar dan beberapa rakan-rakan beliau yang bersungguh-sungguh mengeluarkan hujah dan saranan bernas.

Antara cadangan awal nama universiti yang bakal ditubuhkan ialah 'Universiti Islam Kebangsaan' dan ' Universiti Kebangsaan' yang di akhirnya tertubuhnya 'Universiti Kebangsaan Malaysia' dengan pengambilan 192 orang pelajar yang mendaftar pada 18 Mei 1970 di tiga buah fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sastera dan Fakulti Sains.

Ironinya, ada pihak yang mengatakan sekiranya Dr Ungku Omar masih hidup semasa pembukaan UKM, maka beliau bakal menjadi Naib Canselor yang pertama. Ini dikuatkan lagi dengan nama 'Ungku Omar' diletakkan pada kolej kediaman terawal iaitu kolej ketiga.

Persetujuan telah tercapai di peringkat Jawatankuasa penaja penubuhan UKM bahawa walaupun idea 'Universiti Islam Kebangsaan' tidak tercapai, tetapi idea tersebut digabungkan dengan 'Universiti Kebangsaan' dengan menjadikan pengajian Islam sebagai sebuah fakulti utama dengan buktinya jelas Fakulti Pengajian Islam berada di pintu masuk utama UKM. Maka tidak hairanlah sebaik sahaja penubuhan UKM, tiga buah fakulti yang diwujudkan termasuk Fakulti Pengajian Islam.


RUJUKAN :
Mohd Shuhaimi Al-Maniri (1995), Di Sebalik Tabir Politik Kampus, Pustaka Generasi Baru, Bandar Baru Bangi

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !