Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, July 6, 2010

GMUKM Bantah Politik Sempit

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) berasa amat jelik dan malu dengan tindakan beberapa orang Pemudah Cara (PC) di beberapa kolej yang kini giat mempromosikan Aspirasi kononnya sebagai kelab berdaftar di kolej kediaman; dalam masa yang sama menafikan hak bagi persatuan berdaftar khususnya dari fakulti seperti insiden yang terjadi pada Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi (PMFST). Lebih memalukan apabila PC-PC ini mendapat 'lampu hijau' daripada Ketua Pengarah Operasi, saudara Falihin dengan alasan ia adalah aktiviti kolej dan di luar kuasanya.

Berdasarkan maklumat yang diterima, PC bagi Kolej Rahim Kajai dan Kolej Burhanudin Helmi kini giat menjalankan usaha merekrut mahasiswa-mahasiswa yang baru mendaftar melalui borang-borang yang diedarkan apabila ditawarkan beberapa buah jawatan dalam Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) Kolej. Wartawan GMUKM di Kolej Rahim Kajai melaporkan, borang-borang Aspirasi telah diedarkan dalam bahasa Inggeris supaya hal ini kelihatan formal dan dibenarkan oleh pekeliling pentadbiran.Hal ini nyata berjaya apabila terdapat beberapa orang mahasiswa mengaku 'tertipu' dengan agenda PC tersebut sebelum Wartawan GMUKM menyedarinya. 
Dalam pada masa yang sama, mahasiswa-mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi (FST) yang baru mendaftar kursus siang tadi di Fakulti Sains & Teknologi telah diarahkan untuk memulangkan kembali beg hadiah dari pentadbiran FST kerana didakwa mengandungi 'risalah berbahaya' oleh PMFST yang dikatakan 'pro-pembangkang'. PMFST dalam blog rasminya, mendakwa tindakan PC-PC Kolej Aminuddin Baki (KAB) ini " sebagai tindakan tergesa-gesa, tidak bermaruah dan mempunyai agenda yang bersifat 'mala fide."

MPP Aspirasi, saudara Rasydan selaku MPP FST Tahun 3/4 dalam komen di ruang sosial Facebook enggan mengulas berkenaan hal ini sebaliknya mengulas berkenaan booklet PMFST tersebut bahawa beliau sedikit kecewa kerana MPP FST tidak diberi ruang untuk meletakkan sebarang ucapan atau kata alu-aluan. Beliau juga kelihatan terkejut dengan perihal rampasan beg hadiah dari pentadbiran FST dan berjanji akan memantau isu ini dan melaporkan dalam sedikit masa lagi.

Dalam pada itu, suatu ceramah berkenaan "1 Malaysia & Transformasi Negara" telah disampaikan semalam dengan menyelitkan isu 'New World Order' yang pernah menjadi isu suatu ketika dahulu. Untuk makluman isu 'New World Order' berkenaan teori konspirasi di mana terdapat suatu kumpulan dikatakan mampu memerintah dunia melalui kerajaan dunia dan globalisasi. Isu ini jelas tidak wajar dibincangkan secara umum kerana bakal menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat khususnya bagi warga mahasiswa yang baru mendaftar.

Justeru di peringkat GMUKM kian jelas teori campur tangan pihak pentadbiran yang bersekongkol dengan ahli-ahli politik untuk membangkitkan isu sensitif ini dan disampaikan dalam sebuah ceramah umum yang terang-terang akan menimbulkan salah faham di kalangan pelajar baru sebenarnya bertujuan menjadikan pihak kerajaan yang sedang memerintah sebagai kerajaan tunggal yang mampu mentadbir negara.GMUKM bukanlah golongan yang sempit pemikirannya tetapi berpandangan isu sebegini sensitif seharusnya dibincangkan dalam suasana tertutup dan perlu komunikasi dua hala bagi mengelakkan salah faham dan kemudaratan yang lebih besar.

Pihak GMUKM juga nyata amat kecewa dan terkilan di atas sikap 'double-standard' yang diamalkan oleh pihak pentadbiran UKM yang terang-terang menyalahgunakan kuasa dan kesempatan dalam mendoktrin para mahasiswa baru supaya menjadi golongan belia yang lemah berfikir dan sekadar memandang dari satu sudut.Seharusnya pihak pentadbiran, pada pandangan GMUKM lebih menumpu ke arah merencanakan hala tuju yang jelas kepada mahasiswa berkenaan visi, misi dan objektif penubuhan dan kewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia itu sendiri supaya para mahasiswa yang baru selepas ini akan jelas dengan peranan dan tanggungjawab mereka selaku warga universiti.

Harapan ikhlas daripada Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) supaya semoga Minggu Mesra Pelajar kali ini benar-benar dijalankan dengan 'mesra' dan menghiburkan.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !