Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, July 30, 2010

Jangan biarkan mahasiswa 'mandul'

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyambut baik saranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin bin Abdullah supaya mahasiswa di negara ini dibenarkan turut berpolitik. Cadangan daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tersebut walaupun dilihat sedikit kontroversi dan bersifat populis, tetapi GMUKM optimis dan selari dengan pandangan dan hujah-hujah Dato' Timbalan Menteri.
 
Cadangan ini dilihat sealiaran dengan tindakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hasan yang baru-baru ini membenarkan guru-guru dari gred DG41 hingga DG 48 untuk berpolitik.

"Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberi peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian," ujar Dato' Saifuddin.

Untuk makluman sebelum ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik. Dato' Saifuddin dalam pada itu, beliau akan mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang.

Dalam pada itu, Presiden KAMI saudara Hilman Idham berpandangan positif dengan saranan tersebut.

"Di peringkat mahasiswa sebenarnya kita sudah lama menanti-nantikan cadangan yang bernas ini. Sebagaimana kata-kata Presiden Sukarno,'berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya akan ku goncangkan dunia..' Ini jelas membuktikan peranan yang sangat-sangat bermakna dan bererti daripada para pemuda khususnya mahasiswa yang segar dengan idealisme mereka. Saya juga mengharapkan saranan ini diteliti dengan baik-baik di peringkat jemaah menteri"

Saudara Ahmad Firdaus Azam yang juga Pengerusi MAMPU ketika dihubungi Wartawan GMUKM turut melahirkan penghargaan di atas perhatian dan pertimbangan Dato' Saifuddin. Dato' Saifuddin, ujar Ahmad Firdaus lagi dilihat mampu menjiwai keinginan dan kemahuan para mahasiswa kontemporari.
" Tapi di peringkat kepimpinan MAMPU, kita lebih melihat kepada pelaksanaan daripada sekadar angan-angan. Namun kita juga tidak meletakkan harapan yang menggunung kepada Dato' Saifuddin kerana kami sedar karenah-karenah birokrasi yang bakal menimpa kami di peringkat dalaman universiti. Maka kami menyeru supaya semua pihak samada di peringkat menteri atau Majlis Universiti supaya duduk bersama, berbincang demi kemaslahatan mahasiswa semua,"

" Politik jangan dilihat dalam skop yang kecil. Pengurusan pentadbiran sesuatu organisasi juga perlu dilihat dari skop politik. Malah, turun-naik pencapaian sesebuah organisasi juga perlu dilihat dari skop politik. Politik tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian kita; khususnya dalam skop mahasiswa hari ini."  tambah Ahmad Firdaus.

GMUKM melihat isu ini perlu ditangani dengan pihak-pihak berkenaan duduk bersama berbincang dan mencapai kata putus yang jelas dan tepat. GMUKM melihat sebarang perubahan dasar perlu dilihat dari konteks jangka masa panjang, selaras dengan gagasan pemimpin negara yang ingin melihat negara Malaysia yang tercinta ini mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !