Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, April 5, 2011

Doa, Usaha, Tawakal



Kini, kita mendapati mahasiswa seolah-olah beruzlah dan mengasingkan diri dengan mengulang kaji dan menghafal fakta-fakta, teori-teori dan nota-nota penting bagi menghadapi peperiksaan.

Pada waktu seperti ini juga, barulah kita dapat melihat seolah-olah mahasiswa begitu komited dengan tradisi keilmuan. Mereka juga seolah-olah begitu ikhlas mengamalkan budaya ilmu dalam kehidupan mereka. Mereka kononnya seperti para ulama Islam yang mampu menghafal al-Quran pada usia yang begitu muda umpama Imam Syafie, mengingati rangkaian hadis bersama sanad sekali persis Imam Bukhari, pakar pelbagai bidang macam Imam Ghazali.

Dikatakan sebegini kerana kita kagum dengan keprihatinan mereka dengan ilmu yang dipelajari, fakta yang dikaji, sejarah yang diingati. Pada fasa ini juga, setiap malam mereka akan berdepan dengan berlapis-lapis buku ilmiah, kitab-kitab muktabar yang berjilid-jilid, nota-nota pelbagai corak dan peta minda bersistematik. Kelihatan mereka ini begitu ikhlas dengan ilmu, amanah dengan tanggungjawab terhadap pengalaman ilmu dan rajin mengkaji mencari hikmah di sebalik ilmu Allah yang luas.

Sebenarnya, sama ada kita mengakui atau tidak, ilmu yang kita pelajari kini hanyalah untuk peperiksaan sahaja. Fakta-fakta dan teori-teori yang diingati hanyalah sekadar untuk mengisi ruangan kertas jawapan. Hadis-hadis dan ayat-ayat suci al-Quran digunakan sekadar untuk tempoh tidak lebih dari 2 atau 3 jam peperiksaan. Huraian berdasarkan pendapat ulama dan ilmuwan hanya sekadar memenuhi syarat mendapat segulung ijazah sarjana muda, sarjana tinggi dan PhD.

Kalau ilmu yang dituntut sekadar seperti yang disentuh di atas, maka tiada gunanya ilmu tersebut bagi mahasiswa. Keadaan ini tidak sedikit pun memberi faedah kepada mereka. Alangkah malangnya, ilmu yang sebegitu mulia dan tinggi darjatnya, diperlakukan sebegitu sahaja. Mahasiswa yang berfikiran sedemikian, sepatutnya mengakui bahawa mereka cetek akal. Ilmu umpama cahaya sebagai simbolik kepada nilai yang berharga. Mahasiswa yang bersikap sebegini tidak layak menerima cahaya tersebut.

Di mana kita, jika kita bandingkan diri kita dengan ulama dulu yang sebelum meninggal, masih sempat mengarahkan pembantunya memberi kertas untuk ditulis idea yang muncul ketika itu? Bagaimana pula apabila kita cuba bandingkan dengan ulama yang mana ketika beliau meninggal dunia, buku masih di atas badannya? Perbandingan ini, diharapkan juga dapat mencabar rasa ego kita yang selama ini berasa hebat dengan ilmu yang dimiliki. Padahal ilmu yang ada hanya dari bilik kuliah sahaja tanpa ada inisiatif untuk mendengar kuliah di masjid dan sebagainya. Ilmu di bilik kuliah Itu pun barangkali sekadar untuk peperiksaan.

Mengajak teman-teman mahasiswa agar muhasabah atau menilai kembali tujuan ilmu dipelajari, objektif kita berada di menara gading dan matlamat kita setelah mencari ilmu. Di sinilah, tempat di mana lahirnya pelbagai sarjana negara, ilmuwan tempatan, ulama kontemporari dan golongan profesional. Namun, adakah kita layak diberi status ini?
"Status ini sebenarnya hanya layak bagi mereka yang menganggap peperiksaan bukanlah ujian akhir yang mana apa yang dihafal dan difahami sekali gus hilang selepas peperiksaan. Sebaliknya, selepas peperiksaan, ilmu tersebut masih subur di hati mahasiswa. Mereka menganggap peperiksaan sebagai batu loncatan untuk mereka meningkatkan lagi tingkat keilmuan mereka, sebagai motivasi pemberi semangat untuk menambahkan ilmu dan sebagai pemberi cabaran sama ada mahasiswa mampu atau tidak menghadapi peperiksaan ini"

Mereka juga tidak beranggapan peperiksaan sebagai matlamat akhir dalam pencarian ilmu. Bagi mereka, ilmu yang dipelajari adalah sebagai tanda kecintaan mereka terhadap Allah Taala dan Rasulnya SAW. Ilmu yang dipelajari tidak bertujuan untuk mencari pekerjaan, rumah dan kereta besar semata-mata. Tidak sekadar merangkul segulung ijazah, tidak juga memperalatkannya untuk mengambil hati pasangan yang diminati serta membuatkan bakal ibu dan bapa mertua menyukainya.

Namun kita memahami jika terdapat golongan daripada mahasiswa yang begitu komited terhadap persatuan di samping bidang akademik. Bidang akademik diakui bukanlah satu-satunya elemen keilmuan. Berpersatuan sebenarnya antara lain, mengajar mahasiswa bagaimana menghadapi cabaran hidup, mengharungi kerenah masyarakat, melatih diri berdepan orang ramai dan mencabar diri bagaimana menyeru warga kampus khususnya menuju kepada keindahan dan kedamaian nilai keagamaan. 

Golongan tersebut dilihat cuba menghayati firman Allah Taala dalam surah Ali 'Imran, ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." Namun, Cuma keikhlasan sahaja yang menentukan apakah pendirian sebenar mereka.

Ingatlah, seorang sarjana, Seyyed Hossein Nasr pernah meluahkan kebimbangan beliau, dewan kuliah di institusi pendidikan barangkali akan tinggal nama sahaja tanpa memiliki semangat dan visi keintelektualan. Justeru, marilah kita sama-sama membetulkan kembali pendirian kita terhadap peperiksaan, keintelektualan, kesarjanaan dan pencarian ilmu. Semoga berjaya dalam peperiksaan. 

Sekian, wassalam.
MAA TAUFIQ WANNAJAH

P/s : Artikel asal boleh diperoleh di blog Family-Marsis bertajuk Tradisi Ganjil Mahasiswa Dalam Fasa Peperiksaan

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !