Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, June 14, 2011

Mengapa wanita Malaysia terus jadi 'keldai dadah' antarabangsa? - MPM Musliamh



Kes penyeludupan dadah melibatkan wanita telah menjadi satu masalah rentas sempadan yang mendapat perhatian antarabangsa. Hal ini demikian kerana, sebahagian besar mangsa mudah terpedaya dengan janji dan tawaran wang yang lumayan dengan bekerja di luar negara oleh agen yang tidak dikenali tanpa mengetahui mereka telah menjadi ‘keldai dadah’. Sindiket dadah antarabangsa merupakan masalah yang menggugat keselamatan insan sejak dari dahulu lagi apabila melibatkan penganiayaan ke atas rakyat sesebuah negara umumnya dan wanita khususnya.

Sifat mudah percaya dan kelabu mata dengan kemewahan dan cinta yang ditawarkan oleh lelaki asing menjadikan wanita pendek akal dan mengambil keputusan terburu-buru hingga memakan diri sendiri. Selain itu, kehidupan yang mendesak seperti ketiadaan pekerjaan menjadikan mereka memilih pekerjaan ini sebagai langkah keluar dari masalah hidup.

Sepanjang tahun lalu saja, seramai 35 rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan menyeludup dadah di seluruh dunia, dengan sebahagian besarnya mendakwa diperdayakan sindiket antarabangsa.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata pada tahun 2007 seramai 127 wanita Malaysia ditahan di luar negara kerana memiliki dadah untuk tujuan pengedaran oleh sindiket yang menjadikan mereka keldai dadah ini.

Menurut beliau, berbanding 2009 yang mencatatkan penahanan 54 warga tempatan atas kesalahan menyeludup dadah di luar negara, perangkaan tahun lalu menunjukkan penurunan yang amat ketara. Bagaimanapun, ia masih dianggap perkembangan yang membimbangkan dan memerlukan perhatian sewajarnya oleh semua pihak.

Penurunan berlaku setelah pihak keselamatan negara bekerjasama dengan pihak Interpol untuk mengesan lelaki warga asing yang cuba mendekati wanita tempatan bagi menjadikan mereka sebagai mangsa sindiket.

Modus operandi mereka ini sama -- mengambil dadah dari negara Amerika Selatan seperti Peru, Argentina dan Brazil untuk dibawa masuk ke dalam negara sebelum dibawa keluar menggunakan wanita-wanita berkenaan ke negara-negara jiran dan sekitar Asia. Bukit Aman mendedahkan faktor bahasa dan mudah untuk mendapatkan kepercayaan antara punca sindiket antarabangsa mengubah taktik kotor mereka dengan menggunakan ejen tempatan bagi merekrut rakyat negara ini sebagai keldai dadah. Hasil pemantauan Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia mendapati ramai daripada mereka yang terlibat ialah rakyat negara Afrika Selatan, Nigeria, Pakistan, Peru, India dan Iran yang memperdagang pelbagai jenis dadah.

Menggunakan bagasi, merupakan kaedah lama yang digunakan penyeludup, iaitu menyediakan satu ruang khas bagi menempatkan dadah itu. Bagaimanapun banyak kejayaan pihak berkuasa mengesan penyeludupan dadah menggunakan kaedah ini. Antara taktik lain ialah menggunakan sabun mandi yang ditebuk untuk dimasukkan dadah,bingkai gambar, komputer riba dan yang terbaru kaedah menggunakan baju yang direndamkan ke dalam cairan dadah.

Wanita-wanita yang terdesak terutamanya golongan belia merupakan mangsa yang dicari-cari oleh sindiket dadah dengan tawaran pekerjaan dan gaji yang lumayan. Oleh itu, golongan wanita seharusnya berhati-hati dan curiga apabila bertemu dengan individu atau agen yang tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan yang lumayan sebelum menyelidiki perkara tersebut dengan teliti. Tambahan pula teknologi komunikasi sekarang seperti Facebook merupakan medium perhubungan yang paling berisiko yang digunakan oleh sindiket dadah untuk memperdaya golongan wanita. Ibarat kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada guna.

Disediakan oleh,

Naib Presiden 2 PMUKM
MPM Umum 3/4
Duta AKSIS 

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !