Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, October 25, 2011

Falsafah UKM: Sejarah dan Matlamatnya SIRI 1



Falsafah asal Universiti Kebangsaan dapatlah diteliti daripada kenyataan-kenyataan dalam Laporan Jawatankuasa Penaja UKM (1969) itu antara lain:

Oleh kerana universiti akan menampung pelajar-pelajar dari pelbagai bangsa serta semua pelajaran dengan perantaraan bahasa Kebangsaan, maka ia akan mempereratkan lagi perhubungan antara kaum serta menentukan asas keperibadian Bahasa Melayu.

Kursus-kursus dan penyelidikan-penyelidikan yang diutamakan ialah dalam lapangan atau bidang yang secara rangsung berhubung dengan pembangunan negara.

Universiti kebangsaan ini bertujuan mengeluarkan siswazah yang berpandangan dan berfikiran luas dan menjadi warganegara Malaysia yang taat setianya tertumpu kepada negara ini.

Untuk melaksanakan cita-cita ini kursus-kursus yang akan diberikan kepada penuntut-penuntut universiti mempunyai asas yang luas dan berseimbangan sesuai dengan keperluan-keperluan dan persediaan-persediaan bagi seorang warganegara yang sihat.

Daripada pernyataan tersebut didapati unsur-unsur berikut adalah ditekankan:
1. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia yang tunggal.
2. Usaha untuk mempereratkan lagi hubungat anrara kaum serta menentukan asas keperibadian bangsa Malaysia.
3. Penawaran ilmu-ilmu untuk pembangunan negara.
4. Pengeluaran warganegara Malaysia yang taat setia.
5. Pengeluaran warganegara yang sihat.
6. Pengeluaran siswazah yang berpandangan dan berfikiran luas.

Jelas bahawa konsep dan falsafah UKM yang dihasratkan oleh pengasas UKM itu tidak tersimpang daripada konsep dan falsafah institusi-institusi pengajian tinggi lain di dunia ini. Universiti memainkan peranan yang maha penting untuk melahir dan memperkembangkan ilmu demi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat. 

Baharuddin Yatim (1986) pernah mengingatkan bahawa:

Perancang-perancang dan pengasas-pengasas UKM pada awalnya dulu adalah berpegang kepada konsep keunggulan universiti, dan mereka berpandangan jauh ke hadapan daripada masyarakatnya pada masa itu, telah memperjuangkan sesuatu yang tidak berjejak di alam nyata.

Walaupun terdapat beberapa ungkapan dan pernyataan mengenai konsep dan falsafah UKM sejak awal penubuhannya lagi, tidak pula ada suatu ungkapan yang padu yang mudah difahami serta dihayati oleh masyarakat kampus dan masyarakat luar. Oleh itu pihak universiti telah menggubal ungkapan itu sesuai dengan sejarah matlamat dan hasrat penubuhan universiti ini. Mesyuarat Senat 75/78 telah membincangkan satu ungkapan falsafah UKM seperti berikut :

Kombinasi antara teori dan amal dan ilmu adalah menjadi teras bagi proses pembinaan generasi terpelajar dan bertanggungiawab yang akan membina negara dan menegak bangsa.

Pernyataan ini melambangkan konsep dan peranan universiti yang unggul untuk mencapai hasrat yang berikut:
1. Mendukung cita-cita mendaulatkan bangsa dan negara supaya Universiti Kebangsaan Malaysia terus melambangkan teras Keperibadian Nasional.
2. Menjadi Gedung Ilmu yang mempertahankan kewibawaan akademik untuk terus berkhidmat dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
3. Menjadi Kemuncak Sistem Pelajaran Nasional yang ulung dalam mengguna dan memperkembangkan bahasa Melayu.
4. Memperluaskan fungsi memperkembangkan ilmu dalam berbagai-bagai bidang yang bersesuaian dengan keperluan persekitaran tempatan menerusi penubuhan-penubuhan Kampus Cawangan yang difikirkan munasabah, disamping mengadakan kerjasama dengan institusi-institusi tempatan dan antarabangsa.
(Laporan Perancangan 10 Tahun' 1978-1987)

(bersambung)

* Artikel ini dipetik daripada buku FALSAFAH UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA : Tafsiran dan Penghayatan hasil suntingan (Prof Dr.) Shaharir Mohamad Zain terbitan Penerbit UKM, 1994

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !