Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, October 19, 2011

Mahasiswa - Gerak untuk Malaysia

Oleh Dato Seri Khaled Nordin

DIANGGARKAN 1.2 juta orang mahasiswa sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Jumlah ini boleh dikatakan satu jumlah besar dan dilihat sebagai kuasa atau kelebihan yang menguntungkan negara.

Seperti negara-negara lain, Malaysia yang mahu melangkah ke tahap negara maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang 2020 amat bergantung kepada modal insan yang dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT).

Justeru, jumlah 1.2 juta orang mahasiswa ini sebenarnya aset dan harta yang bernilai; bukan sahaja menjadi modal insan semata-mata sebaliknya modal intelektual untuk Malaysia.

Melihat kepada kelebihan dan kekuatan yang ada pada jumlah mahasiswa di IPT ini, kita harus akui bahawa segala proses pembangunan dan kemajuan negara mesti melibatkan peranan golongan mahasiswa.

Mereka bukan sahaja golongan cerdik pandai, tetapi yang lebih penting mempunyai rangkaian atau rantaian besar juga meluas dalam negara. Bayangkan, jika 1.2 juta orang mahasiswa memainkan peranan masing-masing untuk membantu Malaysia, kita sebenarnya mempunyai kekuatan yang boleh menyerlahkan lagi pembangunan dan kemajuan negara.

Umum mengetahui bahawa kemajuan negara ditentukan oleh beberapa program transformasi, antara yang utamanya adalah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Kejayaan melaksanakan GTP dan ETP akan menentukan kejayaan Malaysia mentransformasikan negara ke tahap maju.

Sudah pasti agenda besar transformasi ini memerlukan dukungan semua pihak termasuk golongan mahasiswa. Mereka harus bertindak sebagai kumpulan masyarakat yang aktif, proaktif dan peduli terhadap pembangunan semasa negara dan bertanggungjawab bagi menjamin kelangsungannya secara lestari.

Ini bermakna, mahasiswa yang ingin kita lahirkan bukan hanya dapat berperanan secara aktif dalam sebuah negara maju dan berjaya, tetapi berjaya bersaing dan hidup dengan serasi dalam masyarakat global yang kompetitif dengan kepelbagaian budaya serta nilai.

Tidak dinafikan, pendedahan mahasiswa terhadap proses transformasi negara khususnya maklumat-maklumat tentang GTP dan ETP amat penting. Ini menjadikan mahasiswa kita seorang warganegara yang prihatin dan cintakan negara kerana ia melatih mereka berfikir dan melahirkan idea tentang persoalan negara dan bertindak bagi menentukan masa depan Malaysia itu sendiri.

Kuasa idea ini tidak seharusnya dipandang remeh. Di seluruh dunia membuktikan bahawa pelbagai program yang asalnya merupakan idea dan gerakan kecil daripada golongan mahasiswa dan belia akhirnya menjadi fenomena di seluruh dunia.

Sebagai contoh, Program Teach for America yang dijana hasil idea mahasiswa berjaya merubah landskap kesedaran pendidikan bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah di seluruh dunia.

Meskipun GTP dan ETP adalah perancangan pembangunan oleh kerajaan untuk keseluruhan rakyat, ia bukanlah satu perkara eksklusif yang hanya melibatkan kerajaan dan pihak yang berkepentingan sahaja. Sebaliknya, rakyat khususnya golongan mahasiswa juga mempunyai peranan tersendiri untuk merealisasikan ia.

Hal ini bertepatan dengan realiti masa kini di mana era kerajaan mengetahui segala-galanya telah pun berakhir. Justeru adalah penting golongan mahasiswa didedahkan dengan GTP dan ETP supaya ia menimbulkan kesedaran dan sense of belonging (rasa kepunyaan bersama), dan dengan itu, GTP dan ETP boleh diperjuangkan secara kolektif.

Mungkin ada pihak melihat mahasiswa hanya sebagai sampingan dan mempunyai peranan yang terhad dalam menggerakkan GTP dan ETP, tetapi jika kita perhalusi, mereka adalah golongan penting sebagai agen perubahan yang mempunyai rantaian luas dan menyeluruh dalam negara.

Oleh itu, golongan mahasiswa mempunyai peranan yang tersendiri dalam menjayakan program transformasi negara khususnya melalui pendekatan GTP dan ETP. Sehubungan itu, saya melihat mahasiswa-mahasiswa sekalian mempunyai cabaran untuk memikul tiga peranan besar di bawah tema Mahasiswa: Gerak untuk Malaysia iaitu:

Pertama : Mahasiswa sebagai penyedar dan penyebar kesedaran Nasional.

Kita sedia maklum bahawa GTP dan ETP adalah program transformasi terbaik untuk negara, akan tetapi masih ramai rakyat yang tidak memahaminya. Belum ada mana-mana pihak selain kerajaan yang mampu menghasilkan satu pelan menyeluruh sebegini untuk masa depan. Justeru, saya yakin golongan mahasiswa boleh memainkan peranan yang penting sebagai agen perubahan yang utama.

Ini kerana mereka mempunyai kekuatan wibawa dan daya pikat luar biasa yang dapat mempengaruhi dan memberi keyakinan orang ramai bersama-sama menyokong dan menyertai arus pembangunan negara melalui GTP dan ETP. Saya melihat kelab-kelab 1Malaysia yang ditubuhkan di IPTA boleh memainkan tanggungjawab penting ini menyebarluas maklumat dan kesedaran terhadap GTP dan ETP.

Kedua : Membangunkan keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan melalui program dan aktiviti yang menjadi tumpuan GTP dan ETP.

Kita menyedari bahawa kekuatan menguasai keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan menjadikan golongan mahasiswa kita mempunyai matlamat, cita-cita dan tujuan kehidupan. Kekuatan tersebut tidak boleh dibina hanya melalui ilmu dan pengetahuan yang ‘diturunkan’ oleh para pensyarah dalam bilik-bilik kuliah, tetapi penglibatan aktif dalam aktiviti sosial dan kesukarelawan yang akhirnya memberi kekuatan sahsiah kepada golongan mahasiswa kita.

Saya percaya aktiviti-aktiviti tumpuan bagi menyokong GTP dan ETP boleh dijayakan oleh golongan mahasiswa ini sekali gus membangunkan kepemimpinan mereka bagi mendepani dan memikul tugas yang mencabar.

Saya juga akan meminta pihak kementerian agar dapat mewujudkan satu mekanisme penilaian dalam memastikan bahawa keterlibatan mahasiswa menerusi aktiviti yang berasaskan kepada ETP & GTP ini dapat dinilai secara berkredit.

Ketiga : Mahasiswa menjadi penyelesai kepada isu dan cabaran semasa dan masa hadapan.

Mahasiswa perlu mencabar bakat dan potensi diri untuk bersedia menyumbang dalam memberikan jawapan terhadap isu dan cabaran bagi merancakkan usaha kita menjayakan GTP dan ETP sekali gus mengangkat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Program-program berbentuk keusahawanan sosial misalnya perlu digerakkan secara lebih meluas kerana ia merupakan satu nadi penting sumbangan mahasiswa dalam membantu kegiatan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat di luar kampus.

Penglibatan mahasiswa dalam merungkai permasalahan masyarakat bukan sahaja memperlihatkan nasib masyarakat itu dibela, tetapi yang lebih penting, mahasiswa didedahkan dengan nilai-nilai seperti kreativiti, berkolaborasi, memahami keutamaan, berfikir secara kritikal, berdaya tahan dan empati tinggi untuk menjawab persoalan-persoalan sosial dan masa kini.

Nilai-nilai ini jugalah yang melayakkan mahasiswa kita memiliki keperibadian unggul yang sememangnya menjadi tuntutan majikan dan industri masa kini.

Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang dalam merangka beberapa aktiviti yang melibatkan penyertaan golongan mahasiswa secara aktif khususnya mengatasi masalah seperti gejala dadah, meningkatkan bilangan pelajar lelaki ke universiti dan menggalakkan minat pelajar terhadap subjek sains dan matematik.

Sebagai sebuah negara yang membangun dan mempunyai program-program transformasinya tersendiri, peranan dan sumbangan golongan muda khususnya mahasiswa amatlah penting.

Mahasiswa boleh menjadi penyelesai masalah kepada setiap permasalahan masyarakat dan negara. Peranan mereka penting bukan hanya menyedari kewujudan masalah, tetapi mampu menyediakan penyelesaian dan memberi cadangan bagi mengatasi masalah-masalah itu.

PENULIS merupakan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !