Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, November 25, 2011

AUKU dipinda - Apa respon kita ?

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak semalam telah memberi isyarat bahawa kerajaan bakal meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membenarkan mahasiswa yang berumur 21 tahun ke atas menjadi ahli parti politik.

Perdana Menteri itu Malaysia berkata, langkah itu diambil bagi menghormati hak Perlembagaan mahasiswa negara yang kebanyakannya sudah mencapai umur baligh undang-undang atau 'age of majority'.

"Ia sejajar dengan semangat pembaharuan undang-undang negara supaya selaras kehendak semasa dan mengukuhkan lagi usaha kerajaan memastikan negara sentiasa ke hadapan, mengimbangi antara keselamatan kebangsaan dan kebebasan individu." tambah beliau serentak dengan pembentangan usul bagi pembatalan Proklamasi Darurat mengikut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat semalam.

Namun bagi menjaga kepentingan dan peranan universiti sebagai institusi pendidikan, mahasiswa dilarang keras membawa politik kepartian ke dalam kampus.

Pindaan AUKU dapat respon positif
Dengan pengumuman terbaru oleh pemimpin tertinggi negara, banyak pihak telah memberi respon yang positif termasuk daripada kalangan Naib-Naib Canselor dan wakil parti politik tanah air.

Antaranya Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Ir Sahol Hamid Abu Bakar yang turut mengingatkan kelonggaran yang diberikan wajar digunakan pada landasan yang betul dan bukan modal untuk mencetuskan persengketaan.

Manakala Prof Datuk Dr Ir Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula telah memberi respon, "Kita tidak terlampau terikat sama ada pelajar boleh aktif dan menyertai parti politik atau sebaliknya, tetapi sebarang pandangan perlu berteraskan ilmu dan itulah yang harus dipegang semasa menjalani kehidupan di kampus."

Manakala Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula dalam nada positif berkata, "Kita amat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri (berkenaan pindaan AUKU). Kita (memberi cadangan kepada kerajaan) memberi kebebasan politik kepada mahasiswa."

Khairy Jamaluddin sebelum ini antara yang lantang menyuarakan kebebasan berpolitik telah berkata, 'mahasiswa yang berpolitik mempunyai pandangan yang luas dan terbuka serta mempunyai sikap yang sihat.'

Respon pemimpin perwakilan mahasiswa
Namun di peringkat pemimpin perwakilan mahasiswa, masing-masing memberi respon yang tidak sama. 

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Syahid Mohd Zaini yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) berharap pindaan Seksyen 15(7) Akta Universiti & Kolej Universiti akan disegerakan oleh kerajaan tanpa mengambil tempoh masa yang panjang.

Manakala Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (MPP UMS) , saudara Khalil Sabu berkata, beliau amat berharap apabila pindaan dibuat, para pelajar akan menghormati serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), saudara Ahmad Syukri Ab Razab pula dalam kenyataan rasminya berharap, pindaan itu akan membolehkan mahasiswa kembali menjadi 'anak muda negara yang bebas mengamalkan perlembagaan sebagai warganegara Malaysia'.

"Mahasiswa meminta semua pihak terutama pentadbir universiti menerima pengumuman perdana menteri secara terbuka.

"Mahasiswa sedar bahawa pentadbir universiti akan menjadi tonggak penting dalam memastikan idealisme mahasiswa kembali pulih setelah AUKU dimansuhkan," ujar beliau.

DEMA mahu AUKU dimansuh
Sementara itu, Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia (DEMA) pula dalam nada tegas mahukan AUKU dimansuhkan serta-merta dan bukan dipinda. Ini kerana dakwa mereka, AUKU jelas bertentangan dengan perlembagaan dan 'mengongkong fikiran' mahasiswa dan kakitangan akademik.

Malah bukan sahaja seksyen 15, terdapat juga peruntukan lain dalam AUKU yang digambarkan bermasalah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta.

"Akta ini telah menghalalkan campur tangan kerajaan dalam pentadbiran IPTA iaitu Seksyen 4 yang memfokuskan kuasa mutlak kampus dan menghancurkan demorakrasi kampus serta autonomi mahasiswa," ujar wakil kumpulan tersebut.

Dalam kenyataan juga, DEMA berkata, seksyen yang memberikan 'kuasa mutlak' kepada menteri pengajian tinggi untuk meluluskan pentadbir universiti membolehkan campurtangan luar terhadap universiti berlaku, termasuk oleh pihak polis.

"DEMA juga menyeru kerajaan supaya mengembalikan demokrasi kampus dan autonomi mahasiswa dengan pemansuhan AUKU."

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !