Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, November 11, 2011

‘Kami sedia hidup tanpa AUKU’

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Pertubuhan-pertubuhan penuntut pusat pengajian tinggi tempatan menerima cabaran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menegaskan mereka sudah bersedia untuk mengharungi kehidupan sebagai mahasiswa tanpa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Dilihat sebagai fleksibiliti dalam pendirian Putrajaya, semalam Muhyiddin (gambar) berkata AUKU boleh dipinda atau dihapuskan jika mahasiswa memberi sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa "digagahi" oleh pihak lain.

Pendirian Putrajaya itu dilihat perkembangan terbaru selepas pada 31 Oktober lalu Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15(5) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, kerajaan perlu serius untuk memansuhkan undang-undang berusia empat dekad itu.

"Jawapan yang berani dan mengagumkan. Namun jika sekadar retorik, politik itu suatu penipuan dan omongan kosong yang sangat menjijikkan. Jika ditanya mahasiswa adakah sudah bersedia atau tidak, saya selaku pimpinan mahasiswa akan menjawab mahasiswa sudah lama bersedia untuk hidup tanpa AUKU," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya, persoalan sekarang ialah "adakah kerajaan benar-benar serius untuk memansuhkan AUKU?"

"Kita sedia maklum bahawa AUKU merupakan akta yang memang bercanggah dengan Perlembagaan. AUKU juga merupakan alat yang paling berbisa kepada (bahagian) Hal Ehwal Pelajar di kampus bagi mengekang kemaraan gerakan mahasiswa dalam memperjuangkan sesuatu isu," kata Mohd Syahid.

Dalam kenyataan semalam, Muhyiddin juga berkata sebelum ini, kerajaan memperkenalkan AUKU pada 1971 disebabkan oleh beberapa insiden dan pengenalan akta itu ialah supaya pelajar dapat menumpukan sepenuh masa dalam pelajaran di universiti serta kolej dan tidak "diganggu" dengan kegiatan luar.

"Saya nak soal balik? Adakah anda sudah bersedia atau tidak? (terlibat dalam politik dan pada masa sama tumpukan terhadap pelajaran).

"Kalau ya, kenapa tidak. Mungkin kerajaan tak perlu akta (AUKU) kot atau pun kita meminda akta itu untuk memberi ruang supaya pelajar boleh membuat keputusan tanpa digagahi oleh mana-mana suatu kuasa perundangan," katanya.

"Ini kerana saudara dan saudari sudah kata tahu apa yang patut dibuat dan kerajaan tidak perlu bimbang bahawa kami (mahasiswa) akan menumpukan sepenuh masa dalam pelajaran. Ini pandangan kasar saya," kata beliau.

AUKU Perlu Dimansuhkan - Syahid
Mengulas lanjut, Mohd Syahid berkata AUKU sememangnya perlu dimansuhkan kerana jelas zalim dan langsung tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan universiti.

Tambah beliau, Kementerian Pengajian Tinggi difahamkan telah menerima kertas putih daripada Jawatankuasa Mengkaji dan Mereputasi kedudukan institusi pengajian tinggi awam tempatan sebelum ini. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pascakejatuhan ranking institusi pengajian tinggi awam baru-baru ini.

"Jawatankuasa tersebut telah menyatakan beberapa cadangan. Salah satunya adalah memansuhkan AUKU. Namun, sehingga kini Kementerian Pengajian Tinggi seolah-olah memandang enteng cadangan-cadangan yang telah disampaikan oleh ahli akademik dan cendekiawan tempatan. Perkara seumpama ini sepatutnya dikesali bersama," katanya lagi.

Kata Mohd Syahid, seandainya mahasiswa terlibat dengan politik tidak bermaksud mereka akan mengabaikan pelajaran mereka.

"Pelajaran tetap perkara pertama yang perlu diutamakan. Namun pada masa yang sama, mahasiswa perlulah tahu dan cakna terhadap isu-isu semasa negara mahupun isu-isu bersifal global.

"Bahkan bukan sekadar perlu tahu dan cakna terhadap isu-isu semasa, mahasiswa juga perlu merespons dan membawa solusi terhadap sesuatu isu itu di atas idea pandang mahasiswa," katanya.

Justeru kata beliau, pihaknya berharap agar segala persoalan yang dijawab oleh Muhyiddin perlulah dikota dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh dimansuhkan, katanya, AUKU juga tidak ada masalah untuk dimansuhkan dan amat yakin seandainya ia dimansuhkan, mahasiswa Malaysia akan lebih matang dan bijak dalam menilai sesuatu perkara dengan lebih baik.

"Lantas mencerminkan bakal tampuk kepimpinan negara yang benar-benar berkualiti dan berintelektual," kata beliau.

PKPIM Sambut Baik Cadangan TPM
Pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut disambut baik oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata PKPIM merasakan sudah tiba masanya mahasiswa di menara gading diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk menunjukkan kematangan dan kebolehan mereka berpolitik sesuai dengan realiti dan kehendak semasa.

Sebagai generasi pelapis kepimpinan masa depan, Ahmad Fahmi berkata, mahasiswa tidak harus terpisah dari arus perkembangan politik semasa.

Katanya, PKPIM menganggap politik adalah sebagai satu cabang ilmu bukanlah satu pengetahuan untuk golongan dewasa semata-mata dan harus dipisahkan daripada pemikiran mahasiswa.


"PKPIM melihat senario terkini dalam negara memperlihatkan sikap jumud dan sinis dari kalangan pimpinan negara apabila mengkritik dan membidas dengan keras terhadap mahasiswa yang terlibat dalam kegiatan politik kecuali beberapa kerat pimpinan politik dari Barisan Nasional yang dilihat konsisten dalam isu mahasiswa ini," kata beliau dalam kenyataan berasingan.

Ahmad Fahmi menambah PKPIM ingin mengesyorkan supaya mahasiswa dibenar terlibat dalam kegiatan politik sebagai mengiktiraf kematangan dan kewarasan mahasiswa sebagai kelompok berilmu selain memenuhi hak sebagai warganegara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan memeriahkan demokrasi Malaysia dengan meluaskan partisipasi mahasiswa dalam struktur dan proses membuat keputusan.

"PKPIM juga percaya bahawa mahasiswa hari ini akan menyahut cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan membuktikan bahawa mahasiswa sudah pandai menilai dan tahu membezakan baik dan buruk dalam sistem politik negara," katanya lagi.

Justeru kata beliau, PKPIM mengusulkan kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk meminda beberapa peruntukan dalam AUKU khususnya Seksyen 15(5) selaras dengan agenda transformasi politik yang dibawa Perdana Menteri dan juga mengambil semangat dan iltizam kerajaan dalam membuat keputusan memansuhkan akta drakonian lain seperti ISA.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !