Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, November 15, 2011

Sedangkan Profesor China martabatkan Bahasa Melayu...

Pada bulan Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan hasratnya agar penggunaan bahasa Melayu diperluas hingga menjadi bahasa pengantar antarabangsa. Minggu lalu, beliau bersuara lagi mahu bahasa itu atau rasminya disebut sebagai bahasa kebangasaan digunakan secara meluas oleh jabatan-jabatan kerajaan dalam semua majlis.

Majlis-majlis termasuklah mesyuarat, persidangan, urusan pejabat dengan orang awam dan apa juga yang berkaitan dengan urusan dalam negeri. Pejuang-pejuang dan pendokong bahasa Melayu tentu bangga dan menyokong penuh hasrat Timbalan Perdana Menteri.


Minggu lalu juga tokoh Bahasa Melayu di China dinobatkan sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa. Pengarah Pusat Pengajian Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing (BFSU) Profesor Wu Zongyu (gambar) menerima penganugerahan gah itu kerana bersungguh-sungguh memartabatkan bahasa Melayu di China sejak 50 tahun lalu.

Tan Sri Muhyiddin sendiri menyampaikan Watikah Penghargaan Negara itu sempena majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 di Melaka, pada 13 Oktober. Profesor berkenaan turut menerima RM50,000 dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Profesor berusia 72 tahun itu dihargai dan diiktiraf sebagai tokoh yang mengembangkan bahasa Melayu di luar rumpun dunia Melayu meliputi bidang penyelidikan, penerbitan dan promosi. Kemunculan Zongyu tentunya mengembalikan kenangan terhadap Laksamana Cheng Ho pada zaman kegemilangan Melaka lebih daripada 500 tahun lalu. Laksamana Cheng Ho dikenang kerana penglibatannya menghubungkan China dan Melaka dari segi perdagangan dan juga pengembangan Islam.

Kali ini, Zongyu mencatat sejarah lagi dengan peranannya memartabatkan bahasa Melayu di sebuah negara besar yang tidak menutur bahasa Melayu. Sebagai kenang-kenangan, Zongyu turut diberi gelaran Laksamana Cheng Ho ke-2.

Tokoh yang mempelajari Bahasa Melayu melalui pengajian di Indonesia itu menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di BFSU seawal 1962 dan dari situ terus berkembang sehingga berjaya bertapak di tujuh buah universiti di negara itu.

 Beliau tidak pernah merungut, sebaliknya semakin tertarik mendalami bahasa Melayu kerana menegaskan;" Saya belajar Bahasa Melayu dan mendekati jiwa bangsa Melayu kerana minat dengan keunikan budaya dan tamadun itu sendiri."

Katanya lagi, jika bahasa Melayu boleh merapatkan dua negara seperti Indonesia dan Malaysia, ia juga berupaya menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum.

Usaha Tan Sri Muhyiddin memartabatkan Bahasa Melayu tidak mungkin dapat dicapai dengan mudah jika beliau sahaja yang mahukannya. Pihak lain, termasuk kerajaan sendiri terus meminggirkan bahasa Melayu. Dahulu kita pernah dikejutkan dengan penukaran sebutan pangkat dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Penolong Penguasa Polis yang sudah sebati, ditukar menjadi Asisten Superintenden Polis. Begitu juga dengan Cif Inspektor menggantikan Ketua Inspektor.

Kini, kita tidak terkejut lagi apabila lebih banyak istilah Melayu dinyahkan dan digantikan dengan bahasa antarabangsa. Kita kini disogokkan dengan MOE, MOHE, MOH dan sebagainya. MOE adalah singkatan kepada Ministry of Education manakala MOHE pula bagi Ministry of Higher Education dan MOH pula Ministry of Health. 

Di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sudah terserlah nama Jabatan Veterinar walaupun orang kampung lebih mengetahui Jabatan Haiwan. Jika dahulu, ada institusi perbankan dinamakan Bank Pertanian, kemudiannya telah diantarabangsakan menjadi Agro Bank.

Di hospital-hospital, pusat pemulihan anggota tidak disebut lagi kerana sesuai dengan nama antarabangsanya kini disebut sebagai pusat rehabilitasi. Di Kementerian Kesihatan, penggunaan bahasa Melayu memang sudah lama dipinggirkan. Ini bukan dakwaan tetapi kenyataan. Jika dahulu kita sering mendengar penyakit kencing manis, sekarang sudah tiada. Perkataan atau nama 'barah' juga tiada. Semuanya ditukar menjadi diabetis dan kanser. Begitu juga dengan hilangnya perkataan pelalian (imunisasi) dan batuk kering.

Satu iklan kementerian itu di tv menyebut perihal seseorang yang mengalami obesiti terdedah kepada hipertensen dan diabetis. Orang kampung manalah tahu mengenai obesiti - jika Cik Siti mereka tahulah. Begitu juga dengan hipertensen dan diabetis. 'Dia' dan 'betis' mereka pasti faham, tetapi asing sekali perkataan diabetis bagi mereka.

Dalam salah satu siaran tv yang membincangkan mengenai kegagalan anak-anak Melayu menguasai matapelajaran Bahasa Melayu, dirumuskan bahawa salah satu daripada puncanya adalah kerana penggunaan ejaan ringkas melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) yang kemudiannya menjadi ikutan dalam sebutan harian. Di samping itu guru-guru pakar menyatakan pelajar Melayu tidak bersungguh-sungguh jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang bukan keturunan Melayu.

Saya amat setuju kerana pelajar Melayu tidak menganggap Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia sebagai matapelajaran. Mereka menganggap Bahasa Melayu sebagai sesuatu yang mudah kerana sejak kecil lagi mereka bertutur bahasa Melayu. Inilah yang menjadi masalah kerana kebanyakan kita tidak tahu yang mana betul dan yang mana pula yang salah.



*Artikel ditulis penuh boleh didapati di Agenda Daily

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !