Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, November 9, 2011

UTUSAN : Buang tabiat liat bayar hutang

Oleh : ROHAMI SHAFIE

SEPANJANG Hari Raya Aidilfitri ini terdapat beberapa iklan raya yang mengamit lagi kemeriahannya. Antara iklan di televisyen yang menarik perhatian penulis ialah iklan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Yang membuatkan penulis tertarik kerana mesejnya yang tersendiri agar peminjam PTPTN membayar hutang mereka selepas tamat belajar. Selalunya iklan promosi pemberian pinjaman kepada bakal peminjam seperti mana yang banyak kita lihat iklan-iklan yang ditampal oleh "ah long tidak berlesen" dan "berlesen" di merata-rata tempat.

Jarang sekali ada iklan yang menyuruh si peminjam membayar kembali hutang mereka. Ia seolah-olah menggambarkan betapa ada di antara peminjam PTPTN cukup liat untuk membayar hutang mereka sehinggakan terpaksa menyediakan satu iklan khas di televisyen bagi memujuk mereka membayar kembali hutang PTPTN.

Perkara ini terbukti benar apabila sehingga 31 Julai lalu, PTPTN telah bertindak menyaman 184,083 peminjam disebabkan mereka gagal menjelaskan hutang PTPTN.

Angka ini cukup besar sama sekali kerana ia menggambarkan sejauh manakah peminjam PTPTN melaksanakan tanggungjawab, amanah dan kewajipan mereka sebagai peminjam.

Ini baru pinjaman pelajaran, bagaimana pula hutang-hutang lain seperti hutang peribadi, kad kredit dan sebagainya? Penulis penuh yakin terdapat kes yang mana si peminjam memang sejak dari awal lagi tidak mahu membayar pinjaman.

Wang pinjaman diambil, tetapi tidak mahu membayar kembali. Rakyat Malaysia sememangnya diketahui suka berhutang. Maklumlah biar papa asalkan bergaya.

Sebab itulah "ah long berlesen" tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Nak salahkan mereka seratus peratus pun tidak kena gayanya kerana diri sendiri juga bersalah, meminjam wang sesuka hati. Jika tidak, mustahil "ah long berlesen" dan "ah long tidak berlesen" mampu hidup mewah dek kerana bisnes pinjaman.

Lagipun strategi kekerasan mereka membuatkan si peminjam terpaksa membayar hutang mereka. Mungkin ini satu-satunya cara untuk "mengajar" mereka yang degil membayar hutang. Sudah tentu PTPTN tidak akan menggunakan cara yang sama, tetapi natijahnya kepada generasi yang akan datang.

Dana pinjaman akan berkurangan, si peminjam yang liat membayar hutang tidak memikirkan perkara ini. Yang mereka fikirkan diri sendiri, walhal mereka sebenarnya menyusahkan generasi akan datang termasuklah anak mereka sendiri.

Tetapi ini tidak bermakna PTPTN tidak boleh mengutip hutang si peminjam secara cekap. Antara yang boleh dilakukan ialah dengan memotong gaji si peminjam secara automatik menggunakan modus operandi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dengan kata lain, sejak hari pertama mereka bekerja, majikan diwajibkan memotong gaji peminjam PTPTN secara automatik. Dalam kes KWSP, 11 peratus daripada pendapatan. PTPTN boleh mengambil tindakan yang sama sebagai penanda aras.

Selepas perayaan Aidilfitri, ada yang tidak nyenyak tidur memikirkan hutang-hutang yang telah dibuat bagi meraikan Hari Raya secara bergaya dan bermewah-mewah. Ada yang sanggup berhutang beribu-ribu semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada orang-orang kampung betapa hebatnya mereka.

Kereta baru, telefon bimbit terkini dan tidak kurang juga pakaian serba mahal. Ini tidak termasuk kasut dan beg tangan yang harganya hanya yang bergaji enam angka sahaja mampu membeli. Tetapi masih memaksa diri untuk membelinya.

Alasan mudah setahun sekali. Memanglah setahun sekali tetapi apa guna merana bertahun-tahun. Hidup tidak tenteram dengan hutang keliling pinggang.

Walhal, bagi penulis perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Peminjam sudah semestinya memahami tanggungjawab untuk membayar hutang mereka. Menyusahkan diri sendiri sahaja disebabkan terpaksa berhutang untuk berlagak dan menunjuk-nunjuk.

Ada yang umur sudah menjangkau 40 tahun pun masih tidak sedar. Simpanan kosong. Apabila dinasihati pandai pula menjawab, "Duit KWSP kan ada, boleh guna untuk persaraan nanti, lagipun masa muda-muda inilah nak bergaya".

Memang susah untuk menyedarkan golongan sebegini. Bahkan, lagi susah untuk mengubah mentaliti si peminjam yang liat membayar hutang mereka. Pelbagai alasan diberi. Yang belajar tinggi-tinggi sehingga ke menara gading dalam bidang perakaunan dan kewangan pun ramai tidak mengamalkan ilmu yang dipelajari.

Mereka juga terjebak dalam perangkap hutang. Tidak mengapalah jika berhutang dan akhirnya menunaikan janji untuk membayar kembali. Yang menjadi masalah, berhutang tetapi liat membayar.

Tidakkah Islam menyuruh umatnya menyegerakan pembayaran hutang selain menyegerakan urusan pengebumian jenazah dan menyegerakan perkahwinan anak perempuan yang dipinang orang?

Azab bagi sesiapa yang liat membayar hutang bukan sahaja ketika hidup tetapi juga selepas meninggal dunia. Roh si peminjam akan tergantung-gantung sehinggalah dijelaskan hutangnya. Jika masih tidak dibayar, hutang tersebut akan diadili di akhirat nanti.

Justeru, buang tabiat liat membayar hutang. Jika tidak mampu, lebih baik tidak berhutang. Hati senang dan fikiran pun tenang.

*PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !