Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, December 18, 2011

Cadangan AUKU dimansuh akan diteliti - Saifuddin

KUALA LUMPUR, 17 Dis : Kerajaan bersifat terbuka dan menerima baik pandangan pelbagai pihak dalam isu pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah pada Sabtu lalu.

Kerajaan mahu memastikan akta itu lebih komprehensif dan telus, kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi pertama perbincangan meja bulat pindaan AUKU di sini Sabtu.

Saifuddin menegaskan walaupun pandangan rasmi kementerian adalah hanya untuk meminda akta itu, namun cadangan agar akta itu terus dimansuh dan digantikan dengan akta baru akan turut diteliti.

"Kami terbuka kepada segala kemungkinan. Sebab itu kami menjemput (peserta) dan menganjurkan perbincangan terbuka. Kami perlu mendapatkan pandangan dan maklum balas secara jujur dari semua pihak berkepentingan," katanya.

Beliau berkata isu pindaan dan pemansuhan akta itu adalah dua isu besar yang dibangkitkan pelbagai pihak di majlis itu Sabtu lalu.

'Magna Carta for Students Act of 2008'
Saifuddin juga berkata satu pertemuan berasingan secara terbuka akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan 'Magna Carta for Students Act of 2008', satu akta alternatif yang diusulkan oleh mahasiswa kepada pihak kementerian pada 2008.

"Perkara itu bukan perkara baru, (cuma) ia belum pernah dibincangkan. Jadi saya fikir dalam kita nak pinda AUKU ini, tiba masa kita berbincang. Kita boleh berbeza pandangan tapi kita mesti menghormati pandangan mahasiswa yang telah pun beberapa tahun disampaikan," katanya.

Selain cadangan pemansuhan akta itu, Saifuddin berkata antara cadangan lain ialah penyertaan mahasiswa sebagai wakil dalam Jawatankuasa Pindaan AUKU.

"Walaupun ada jawatankuasa pindaan AUKU ditubuhkan, tapi hari ini juga kita dengar (cadangan) patut ada stakeholder ditambah, kerana jelas tiada wakil IPT dan pelajar, dimana pandangan mereka harus diambil kira," katanya.

Kerajaan belum buat keputusan pinda Akta IPT lain
Beliau berkata kerajaan juga belum memutuskan sama ada seksyen lain di dalam AUKU dan akta institusi pengajian tinggi yang lain akan turut dipinda.

"Saya tidak dapat menyatakan lebih lanjut buat masa ini...Kami ambil perhatian dan akan laporkan kepada menteri," kata beliau.

Sesi meja bulat hari ini turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu; Penasihat Undang-undang Universiti Teknologi Mara, Professor Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi; wakil-wakil pelajar dari IPTA dan IPTS; Majlis Profesor Negara; badan-badan bukan kerajaan (NGO); wakil-wakil dari parti politik dan Majlis Peguam. 

Draf pindaan AUKU hasil perbincangan dari beberapa sesi meja bulat itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !