Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, December 20, 2011

Pindaan AUKU & kebebasan mahasiswa


APAKAH kongkongan yang membelit ketat dunia kampus sejak hampir 40 tahun lalu dapat dileraikan melalui cadangan pindaan ke atas Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)?

Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin – yang tidak pernah menunjukkan sikap berlapang dada terhadap idea kebebasan akademik dan berpersatuan – mengumumkan draf pindaan Auku akan disiapkan sebelum akhir Januari 2012, sebelum dibentangkan di Parlimen, Mac berikutnya.

Secara peribadi, saya mengharapkan warga kampus segera dipulangkan hak yang sepatutnya dinikmati rakyat biasa, antaranya menjadi ahli parti politik dan bebas menyuarakan pendapat mengenai perkembangan semasa.

Zaman gelap sejak 1975 itu perlu ditamatkan dan diberikan nokhtah terakhir.

Namun impian itu tidak semudah diharapkan. Melihat realiti di menara gading hari ini, semasa isu hak berpolitik mahasiswa di bincangkan, anak-anak muda kampus masih bergelut hal remeh-temeh, terutama apabila berdepan karenah birokrasi Hal Ehwal Pelajar dan sikap pegawai kanan universiti.

Dilaporkan bahawa beberapa program, seperti debat Auku di Universiti Malaya, minggu lalu, disekat dan diganggu pihak keselamatan.

Lampu dewan ditutup beberapa kali semasa perdebatan berjalan. Bayangkan, sikap 'keanak-anakan' ini. Sepatutnya program mahasiswa terutama untuk membincangkan isu-isu serius seperti pindaan Auku dipermudahkan, bukannya dipersulitkan.

Ini mengingatkan saya tentang gambar ‘bersejarah’ seorang aktivis pelajar daripada kumpulan Pro-M, yang ditekap mulutnya oleh seorang pengawal keselamatan UM apabila beliau berkeras mengadakan sidang media mengenai pilihan raya kampus (PRK), Februari lalu.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri, Saifuddin Abdullah dihalang menyertai program e-buku beliau sendiri, "Kalau Saya Mahasiswa" di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Nah, kebebasan intelektual langsung tidak dihargai, apatah lagi untuk memberikan pelajar hak berpolitik.

Bagi saya, ia hanya menunjukkan kecelaruan (juga kebebalan) sikap dan minda pegawai kanan universiti, khususnya Naib Canselor (atau Rektor), untuk memahami apa sebenarnya kehendak ketua-ketua mereka, sama ada di Kementerian Pengajian Tinggi atau Jabatan Perdana Menteri.

Pemegang jawatan kanan kampus – khususnya Timbalan Naib Canselor HEP – sentiasa berusaha memastikan tiada tindakan mere ka yang bakal menyebabkan pihak atasan “berkecil hati”. Lebih baik mereka bertindak “bodoh sombong”, yang ternyata memperlekehkan daya intelektual dan keilmuan mereka sendiri, daripada disergah menteri atau bos politik.

Situasi ini tidak payah difahami jika kita meneliti proses pelantikan naib-naib canselor, yang sarat dengan agenda politik itu.
Tentulah tidak mudah mencari seorang Naib Canselor yang terpaksa menguruskan kelompok paling sukar dikendalikan, tenaga akademik dan para mahasiswa, yang cenderung untuk berhujah dan berbahas.

Autonomi universiti dan integriti akademik adalah cabaran besar tetapi seperti tidak pernah dipedulikan.

Bagaimanapun, Menteri Pengajian Tinggi dan Perdana Menteri hanya begitu cerewet memilih seorang pengurus universiti yang diharap dapat menjayakan misi mereka di kampus, yang memiliki pemikiran dan gerak hati dalam jalur yang sama, serta berupaya 'menjinakkan' warga kampus yang 'nakal'.

Saya tidak pasti sejauh mana peranan dan pengaruh ja watankuasa yang dibentuk untuk me nasihati menteri dalam pemilihan naib canselor ataupun ia sememangnya kekal sebagai kuasa mutlak PM dan kroninya.

Sebelum itu, kita dapat menyaksikan dengan jelas, ekoran keputusan Hakim Hishamuddin Yunus mengenai rayuan UKM4, yang menyifatkan Seksyen 15 Auku bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, majoriti pemimpin BN memberi reaksi negatif, kecuali Saifuddin dan beberapa kerat rakannya.

Hanya selepas Najib Razak memberi jaminan seksyen itu akan dipinda barulah pemimpin kerajaan yang lain menunjukkan riak positif tetapi tetap dengan nada penuh hati-hati.

Apa pun jangkaannya, diharapkan Auku yang mengongkong itu segera dihapuskan sebelum PRU13 nanti. Kebimbangan kampus akan bertukar menjadi gelanggang siasah kepartaian sekiranya dibenarkan mahasiswa aktif berpolitik adalah ketakutan tidak berasas elit penguasa dan suku-sakat mereka.

Mahasiswa yang independen selalunya berpijak di atas kebenaran dan sentiasa berazam untuk mengungguli idealisme luhur itu. Mungkin ketika itu parti politik ti dak lagi penting buat mereka ber banding suara kebenaran yang ma hu diluahkan. Ya, sediakan ruang kebebasan itu, dan percayalah kepada kebijaksanaan anak bangsa sendiri.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !