Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, January 30, 2012

Autonomi universiti tidak bermakna tanpa mansuh AUKU

Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berpendirian pemberian autonomi kepada universiti tidak bermakna sekiranya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mencengkam kebebasan universiti masih berkuatkuasa.

“Selama ini AUKU terbukti sebagai penghalang utama autonomi universiti dan kebebasan akademik,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 26 Januari lalu telah mengumumkan bahawa lima Institusi Pengajian Tinggi Awam – Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia and Universiti Teknologi Malaysia akan diberikan autonomi.


Menurut Nik Nazmi, keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 AUKU tidak membawa sebarang makna memandangkan pindaan ini tidak mengatasi budaya ketakutan dan pemusatan kuasa yang telah disebarkan oleh AUKU selama ini.

“Mahasiswa, masyarakat sivil dan pihak pembangkang telah secara konsisten menyatakan pendirian ini tetapi hanya keputusan UKM 4 yang membuatkan pihak kerajaan menerima hujah ini,” tambahnya.

Ujar beliau, “kami juga masih menunggu jawatankuasa dwiparti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah untuk menjadi realiti.

Jawatankuasa tersebut katanya, sekiranya menjadi realiti, akan meneliti akta alternatif kepada AUKU yang telah dicadangkan oleh pimpinan mahasiswa pada 2008.

Kata beliau, pada masa yang sama, beliau juga kesal dengan keputusan Kolej Universiti Insaniah Kedah (Kuin) untuk menggunakan AUKU terhadap lima mahasiswanya.

“Kami berharap keadilan akan tertegak di dalam kes ini dan semua negeri-negeri Pakatan Rakyat menunjukkan komitmen mereka menentang AUKU dengan tidak membenarkan peristiwa tersebut berulang.

“Kita telah berjuang sekian lama untuk menentang ketidakadilan tersebut,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia dipecat berikutan tindakan penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sehingga mencetuskan kontroversi dalam pakatan pembangkang

Azizan berkata, beliau tidak takut dan sesiapa yang mengkritiknya harus belajar undang-undang terlebih dahulu, lapor Berita Minggu.

Pemimpin PAS itu menjelaskan, AUKU masih terpakai di KUIN kerana institut pengajian tinggi itu tertakluk kepada peraturan Menteri Pengajian Tinggi, termasuk harus melaksanakan akta kontroversi itu.

Pada Mei lalu, lima mahasiswa KUIN digantung pengajian, antaranya kerana dituduh menyertai demonstrasi, memberikan ucapan kepada umum dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Bagaimanapun tempoh penggantungan bagi empat daripadanya telah tamat.

Tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak, termasuk NGO, kumpulan pelajar dan daripada dalam Pakatan Rakyat sendiri apabila Azizan didakwa mengetepikan persetujuan bersama dalam Buku Jingga yang mahu menghapuskan akta itu.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !