Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, January 14, 2012

Kesahihan tukar agama : Mahkamah Tinggi Pulau Pinang diperintah dengar permohonan

PUTRAJAYA 12 Jan. - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan saman pemula seorang wanita keturunan India, Siti Hasnah Vangarama Abdullah bagi mencabar kesahihan proses penukaran agamanya kepada Islam ketika masih kanak-kanak, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Sulaiman Daud dan Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus membenarkan rayuan wanita itu dan memerintahkan ketiga-tiga responden membayar kos berjumlah RM10,000.

Mahkamah sebulat suara berpuas hati agar saman pemula itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan kerana terdapat isu yang wajar dihujahkan berhubung proses pengislaman Siti Hasnah, 29, ketika berusia tujuh tahun.

Isu pokok yang dibangkitkan dalam saman pemula itu adalah sama ada seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun mempunyai kapasiti dan tertakluk kepada pihak berkuasa agama untuk menjalani upacara keagamaan termasuk proses penukaran agama.

Wanita tersebut atau nama Hindunya, S. Banggarma merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 4 Ogos 2010 yang membatalkan saman pemulanya selepas membenarkan bantahan awal responden.

Responden pertama hingga ketiga terdiri daripada Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tun Dr. Mahathir Mohamad, Raimi Abdullah (ketika itu Setiausaha Perkim Bukit Mertajam, Pulau Pinang) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP).

Mahkamah Tinggi ketika itu berpuas hati dengan hujahan pihak responden bahawa Siti Hasnah seorang Islam dan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman pemula berkenaan.

Wanita tersebut diwakili oleh peguam Gooi Hsiao Leung manakala Matthias Chang bagi pihak Dr. Mahathir, Tuan Zubaidah Tuan Muda bagi pihak Raimi manakala Hairuddin Othman mewakili MAIPP.

Dalam saman pemulanya yang difailkan pada 23 Disember 2009, antara deklarasi yang dimohon oleh Siti Hasnah adalah pihak responden secara salah dan tanpa mengikuti undang-undang telah menyebabkan dia menjalani proses penukaran agama ketika masih kanak-kanak.

Wanita itu mendakwa, proses pengislaman pada 28 Disember 1989 iaitu tiga hari selepas kematian ibunya dilakukan secara salah kerana ketika itu dia tidak memahami kalimah syahadah yang diucapkan serta kandungan Sijil Akuan Masuk Islam yang ditandatanganinya.

Pada 24 November 2009, sebuah portal berita propembangkang melaporkan sijil kelahirannya menyatakan bahawa Siti Hasnah dilahirkan pada 13 Ogos 1982 di Keratong, Pahang dan anak kepada pekerja estet keturunan India, B. Subramaniam dan R. Latchumy.

Bagaimanapun, MAIPP dalam sidang akhbar pada Disember 2009 menyatakan, wanita terlibat merupakan seorang Islam selepas ibu bapanya memeluk agama itu di Pejabat Agama Islam Daerah Rompin, Pahang pada 30 November 1983 dan menukar nama masing-masing kepada Mohd. Yusof Abdullah dan Siti Aisyah Abdullah.

Isu pengIslaman Siti Hasnah itu ditimbulkan pada satu sidang akhbar selepas wanita berkenaan mendakwa dia terkejut ketika diberitahu dia seorang Islam semasa ingin mendaftarkan perkahwinannya bersama seorang lelaki beragama Hindu.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !