Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, June 9, 2012

Naib Canselor Unisel: Alasan sekat PTPTN 'agak politikal'


Isu PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)


8 Jun 2012
SHAH ALAM - Universiti Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor melahirkan rasa lega dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung keputusan menarik balik pembekuan kemudahan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, keputusan itu memberi semula peluang kepada kira-kira 80 peratus daripada lebih 1,000 pelajar pengambilan baru universiti itu menyambung pengajian mereka. "Kami menerima  panggilan pagi tadi minta pihak kami hadir ke pejabat KPT dan berjumpa dengan Ketua Eksekutif PTPTN Agus Cholan. Perbincangan berlangsung kira-kira 10 minit sebelum kami diberi surat menyatakan pembekuan ditarik balik," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Beliau berkata, kesemua pelajar boleh membuat permohonan secara on-line bermula malam ini atau esok seperti yang dijanjikan dalam surat yang diserahkan kepada Unisel.

Anuar berkata, pihaknya pernah mengadakan pertemuan dengan wakil PTPTN pada Rabu minggu lepas dan diminta membuat rayuan apabila dimaklumkan nama Unisel tidak terdapat dalam senarai institusi pengajian tinggi bagi pinjaman perbadanan itu.

"Alasannya agak politikal, saya tidak mahu ulas," katanya ketika ditanya apakah alasan yang diberi berhubung pembekuan Unisel daripada senarai PTPTN.

"Yang penting pelajar kini boleh membuat pinjaman dan menyambung pengajian di Unisel, terima kasih kepada semua termasuk Menteri Pengajian Tinggi," katanya.

Ditanya pandangan beliau mengenai kepentingan PTPTN kepada pelajar bagi menyambung pengajian apabila terdapat pihak yang mahu pinjaman oleh perbadanan itu dihapuskan, Anuar terdiam seketika dan tersenyum lebar.

"Jawapan saya ya dan tidak kerana ia bergantung kepada situasi. Ia penting bagi pelajar yang kurang berkemampuan, namun pinjaman itu juga bergantung kepada sistem, dasar dan suasana yang berubah mengikut kerajaan  memerintah," katanya.

Beliau turut mengakui pembekuan pinjaman PTPTN itu menyebabkan bilangan pelajar yang memohon untuk masuk ke Unisel berkurangan.

Katanya purata kos yuran pengajian di Unisel bermula dari RM14,000 bagi diploma dan RM39,000 bagi peringkat ijazah.

Unisel mempunyai 12,000 pelajar termasuk 500 pelajar antarabangsa di lapan fakulti di dua kampus Shah Alam dan Berjuntai Bestari, Kuala Selangor dengan 51 peratus pelajar universiti itu berasal dari Selangor diikuti Johor, Perak dan Sabah serta negeri lain. - Bernama

Ber-GM Lebih Baik!

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !