Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, October 29, 2012

Model Peradaban Malaysia Lebih Baik Dari Peradaban Barat Yang Pentingkan Kebendaan Dan Tidak Keadilan

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto PKK dan Unit Foto Penerbit UKM
BANGI, 23 Okt 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diharap dapat menyumbang kepada fasa baru Peradaban Islam yang bakal mendapat perhatian dunia akibat budaya Barat yang sedang dilanda pelbagai krisis.
Profesor Dr Kosugi Yasushi yang dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari UKM hari ini berkata Malaysia harus membuktikan model peradabannya adalah lebih baik untuk dunia.
Prof Kosugi dari Kyoto University, Jepun berkata masyarakat antarabangsa semakin mual dengan peradaban Barat yang terlalu mementingkan kebendaan dan ketidak adilan.

Kini sudah sampai masanya Malaysia dan negara Islam Asia Tenggara lain tampil kehadapan untuk membantu membawa keamanan dan kesejahteraan ke pesada dunia.


Beliau memberikan pendapatnya itu dalam ucap balasnya selepas menerima anugerah PhD Kehormatnya daripada Pro-Canselor UKM, Tengku Ahmad Rithaudden Tengku Ismail pada sidang ke-7 Konvokesyen ke-40 UKM hari ini.

Walaupun Makkah dan Madinah adalah tumpuan kerohanian ummah, pusat ekonomi dan kerilmuan Islam boleh berubah. Umpamanya pada masa lampau Damsyek, Baghdad, Samarkand dan Istanbul menjadi terkenal kerana inovasi, sains dan perdagangan, katanya.

Kini sudah sampai tempoh untuk fasa baru wujud bagi peradaban Islam, tambah beliau.

Beliau melihat UKM dan Malaysia yang maju dalam perbankan Islam dan applikasi Syariah dalam hal ehwal ekonomi boleh memainkan peranan demikian.

Prof Kosugi, seorang muaalaf, memuji Institut Islam Hadhari yang giat melakukan penyelidikan mendalam mengenai peradaban Islam.

Kyoto University kini menjalin kerjasama dengan UKM dan beliau yakin usaha mereka akan berbaloi. Dua pelajar siswazah universiti itu kini ditempatkan di Institut Islam Hadhari untuk mendapat pendedahan dalam bidang Pensijilan Halal dan Sains Islam.


Institut Islam Hadhari pula bercadang untuk menempatkan pelajar siswazahnya di Pusat Pengkajian Kawasan Islam (Centre for Islamic Area Studies), Kyoto University.

Kedua universiti juga sedang merancang mengadakan aktiviti penyelidikan bersama dalam bidang peradaban Islam.

Minat Prof Kosugi terhadap Islam telah mendorongnya mempelajari Bahasa Arab di Tokyo University pada tahun 1972. Tiga tahun kemudian atas biasiswa kerajaan Mesir, beliau mengikuti kursus khas pengajian Islam dan memperolehi ijazah dalam bidang Usulddin dari Al-Azhar University pada tahun 1983. Beliau juga telah memeluk Islam di Mesir.

Beliau mengakui ramai tidak menyangka seorang etnik Jepun boleh menjadi penyelidik dalam bidang Peradaban Islam apatah lagi memeluk Islam tetapi menerimanya dengan hati terbuka.

Setahun selepas tertubuhnya Institut Islam Hadhari UKM, Kyoto University mengambil kesempatan untuk mengadakan jaringan ilmiah dengan UKM pada 2008.

Beliau sering dijemput menghadiri persidangan dan wacana Ilmiah di peringkat antarabangsa termasuk di Islamic Foundation, University Cambridge dan di Durham University, United Kingdom.

Kerjaya Prof Kosugi bermula di International University of Japan sebagai Pembantu Penyelidik dan kemudiannya dilantik sebagai Felo Penyelidik Kanan.

Beliau pernah menyandang jawatan Setiausaha di Institut Pengajian Timur Tengah Jepun dan kemudiannya dilantik sebagai Professor di Kyoto University.

Prof Kosugi pernah menjadi Sarjana Tetamu di Centre for Middle Eastern Studies, University Cambridge dan bertugas di Kyoto University sebagai Pengarah dan Profesor di Centre for Southeast Asian Studies.

Kini Prof Kosugi menjawat Pengarah Pertama Centre for Islamic Area Studies dan Graduate School of Asian and African Area Studies di universiti itu.

Beliau juga adalah ahli Majlis Sains Jepun.


Lead The Changes! Ber-GM Lebih Baik!

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !